Isnin, 7 Mei 2018 | 12:04pm
ERWIN Dawson sanggup membotakkan kepala demi kerja seni.
ERWIN Dawson sanggup membotakkan kepala demi kerja seni.

Erwin bingung diminta botakkan kepala

KUALA LUMPUR: Bukan keputusan mudah untuk pelakon kelahiran Singapura, Erwin Dawson, 29, membotakkan kepala hingga dia termenung panjang ketika diminta melakukan perkara itu.

Erwin berkata, hatinya berbelah-bahagi, malah seminggu sebelum membotakkan kepala, dia masih tertanya-tanya apakah memang bersedia melakukannya.

"Banyak perkara yang berlegar di fikiran, terutama apabila memikirkan soal keyakinan diri. Bagaimana saya akan berdepan dengan orang ramai kerana sudah lama saya tidak membotakkan kepala?

"Ketika mula melakukannya pada Februari lalu, saya rasa janggal. Ambil masa juga untuk saya membiasakan diri dengan imej baharu ini.

"Tetapi, selepas lebih dua bulan, saya semakin selesa. Saya percaya, apa yang dilakukan ini akan memberikan pulangan yang berbaloi untuk perjalanan kerjaya saya nanti," katanya.

Erwin mengambil keputusan berat untuk mengorbankan rambutnya itu demi merealisasikan watak sebagai penghidap kanser bernama Amar dalam drama, Nafas untuk siaran ntv7.

Erwin berkata, dia hanya termenung panjang ketika dimaklumkan produksi perlu membotakkan kepala. Mengakui agak keberatan pada permulaan, Erwin akhirnya nekad melakukannya kerana watak itu bagus untuk membina profil.

"Kali terakhir saya botakkan kepala ketika umur 18 tahun untuk menyertai Khidmat Negara di Singapura.

Bayangkan lebih 11 tahun, baru saya kembali dengan imej itu. Memang pada permulaan agak kekok menyesuaikan diri.

"Selalu saya pujuk diri, lambat-laun rambut akan tumbuh kembali," kata pelakon yang kini rapat dengan bakat baharu, Julia Farhana Marin.

Drama 24 episod itu akan bersiaran mulai 11 Mei ini dari Isnin hingga Jumaat jam 8.30 malam.

Berita Harian X