Rabu, 9 Mei 2018 | 8:28am
PENYANYI, Altimet. - Foto Eizairi Shamsudin

Bruce Lee inspirasi Altimet

KUALA LUMPUR: Menyanjungi falsafah dicetus mendiang Bruce Lee, penyanyi rap, Altimet menjadikan pegangan hidup legenda seni mempertahankan diri itu sebagai judul album terbarunya.

Altimet atau nama sebenarnya, Ahmad Abdul Rahman memberitahu, ada cerita sebalik judul Air yang diberi untuk bingkisannya itu.

"Mendiang kaya dengan falsafah... Antara kata-katanya yang saya ingat hingga hari ini adalah jadilah seperti air yang dapat menyesuaikan diri dengan objek. Di mana sekali pun dicurahkan, air akan membentuk seperti objek itu.

"Berdasarkan prinsip itu, saya memberi sepenuh kebebasan kepada komposer untuk menghasilkan lagu mengikut cita rasa mereka dan bukan kemahuan sendiri.

"Sebelum ini, setiap lagu yang mereka hasilkan perlu mengikut arah yang saya tentukan," katanya kepada BH Online.

Album terbaru itu menyaksikan Altimet berkolaborasi dengan komposer seperti Omar K, Navigator, Emir Hermono, Kidd Santhe dan Music Kitchen.

Altimet hanya menyumbang idea dalam penulisan lirik untuk album itu.

Sebelum ini, Altimet menghasilkan tiga album iaitu First Among Equals pada 2007, Kotarayaku (2014) dan Amboi (2016).

Mengenai keputusannya bersara daripada dunia bersara sebaik mencapai usia 40 tahun, Altimet berkata, langkah itu diambil bagi memberi peluang kepada artis baharu mengembangkan bakat.

"Kalau bukan orang lama yang membuka ruang, bagaimana orang baharu mahu naik? Justeru, ini cara saya untuk memastikan muzik hip-hop terus bernafas dan mempunyai pelapis.

"Bila artis 'otai' berehat dan wujud kelompangan, baru ada ruang untuk penyanyi baharu mencipta nama," katanya.

Altimet berkata, dia melihat ramai bakat muda yang berpotensi dan boleh diketengahkan untuk meneruskan legasi sedia ada.

"Sebenarnya kita ada ramai penyanyi rap dan hip-hop yang bagus dan mampu menyerlah.

"Antara artis yang berbakat dan saya nampak boleh pergi jauh adalah SonaOne, Akeem Jahat dan Aman Ra. Saya juga minat dengan kumpulan Sleeq," kata penyanyi berusia 39 tahun ini.

Berita Harian X