Jumaat, 11 Mei 2018 | 3:42pm
NABILA razali menjayakan kempen sebuah jenama bersama Khai Bahar.

Nabila Razali bakal berpuasa 17 jam

KUALA LUMPUR: Sudahlah pertama kali berkelana di luar negara tanpa ditemani keluarga, Nabila Razali yang bakal menyambut Ramadan di Turki, mula terbayang bagaimana hendak menunaikan ibadat puasa sehingga 17 jam sehari di negara itu.

Terikat dengan penggambaran drama Cintaku di Bumi Izmir, penyanyi Pematah Hati itu sukar membayangkan bagaimana keadaannya apabila Ramadan tiba, minggu depan.

"Ini kali pertama saya berjauhan daripada keluarga dan berpuasa di tempat orang.

"Saya dimaklumkan umat Islam di sini berpuasa dalam tempoh panjang iaitu 17 jam sehari. Tak tahulah bagaimana saya akan melaluinya.

"Harapnya saya kuat dan semua urusan dipermudahkan," katanya kepada BH Online.

Nabila yang ketika ini sudah berada di Turki memberitahu, dia dijangka berjauhan daripada keluarga selama sebulan.

"Ini bermakna saya berpuasa selama dua hingga tiga minggu di Turki. Seminggu sebelum Aidilfitri barulah saya dijadual pulang ke Kuala Lumpur," katanya.

NABILA razali menjayakan kempen sebuah jenama bersama Khai Bahar.

Mengulas mengenai drama Cintaku di Bumu Izmir yang ditunjangi Hefny Sahad dan Raysha Rizrose itu, Nabila memberitahu, dia membawa watak sebagai Farah.

"Saya jadi watak pembantu yang juga teman baik kepada Raysha. Berdasarkan skrip, kami adalah penuntut Malaysia di Turki. Kiranya, Farah adalah teman pada waktu susah dan senang," katanya sambil menambah karakter Farah sangat ceria dan positif.

Sementara itu, Nabila mengaku selesa bekerjasama dengan teman seperjuangan, Khai Bahar selepas menjayakan kempen produk kecantikan bersama penyanyi Luluh itu.

"Hakikat yang harus diterima, kita ada ramai penyanyi berbakat besar dan ada masa depan cerah. Kejayaan Khai dilihat sejak tahun lalu dan sudah menggondol banyak anugerah. Bakat yang ada seiring populariti dirinya," katanya.

Tambah Nabila, dia dan Khai sempat memenuhi sesi fotografi dan videografi bagi kempen sebuah produk kecantikan sebelum 'terbang' ke Istanbul.

"Andai ada rezeki, saya tak akan lepaskan peluang berduet dengannya. Khai adalah penyanyi yang hebat," katanya.

Berita Harian X