Sabtu, 12 Mei 2018 | 9:54am
Pelakon, Rita Rudaini melancarkan buku biografinya Kerana Aku Seorang Perempuan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018. - Foto Rohanis Shukri
Pelakon, Rita Rudaini melancarkan buku biografinya Kerana Aku Seorang Perempuan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018. - Foto Rohanis Shukri

3 hari habis 3,000 naskhah

KUALA LUMPUR: Penangan pendedahan dalam biografi kisah hidupnya, Rita Rudaini boleh tersenyum lebar apabila lebih 3,000 naskhah terjual dalam tempoh tiga hari pertama buku itu dilancarkan.

Rita memberitahu, sambutan memberangsangkan itu meyakinkan dirinya mencetak buat kali kedua biografi, Kerana Aku Seorang Perempuan.

"Alhamdulillah, ramai tidak tahu sejarah dan liku hidup insan bernama Rita Rudaini kerana tidak dikongsi kepada umum.

"Buku ini dihasilkan kerana saya ingin membuat luahan dan menepis kata-kata negatif yang memanipulasi kisah hidup saya... Bagaikan mereka lebih tahu berbanding saya," katanya kepada BH Online.

Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 42, menambah, niat dia berkongsi kisah hidup adalah bagi memberi pengajaran dan semangat kepada ibu tunggal yang berdepan situasi sama.

"Tidak terlintas untuk saya membuka aib mana-mana pihak," katanya.

Rita berkata, dia berharap tiada pihak memberi tanggapan buruk kononnya dia mahu meraih simpati melalui projek biografi itu.

Pada 1 Mei lalu, Rita melancarkan biografi, Kerana Aku Seorang Perempuan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Hampir sedekad menyimpan rahsia majlis pernikahannya dengan pemain bola sepak, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak di Thailand pada 2008, Rita Rudaini Mokhtar mendedahkan butiran itu dalam biografi terbabit.

Rita dan Aidil, bagaimanapun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada 5 September 2013.

Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, yang kini di bawah jagaan Rita.

Berita Harian X