Sabtu, 12 Mei 2018 | 11:43pm
FITRI Haris menjuarai konsert akhir Gema Gegar Vaganza. - Foto Rohanis Shukri

Fitri Haris tepati ramalan juara Gema Gegar Vaganza 2

BUKIT JALIL: Kerja keras Fitri Haris mengerah keringat selama tujuh minggu terbayar apabila diumumkan sebagai juara musim kedua program realiti, Gema Gegar Vaganza (GGV), malam tadi.

Persembahan konsisten yang dipamerkan Fitri sepanjang pertandingan melayakkannya membawa pulang wang tunai RM100,000 dan trofi.

Pada persaingan kemuncak yang berlangsung di Dewan Sri Putra, di sini, Fitri mempamerkan aksi bertenaga menerusi dua tugasan dengan membawakan lagu Zinnirah nyanyian asal UNIC untuk persembahan solo.

Untuk tugasan Battle pula, dia bergandingan dengan Adeep Nahar menerusi lagu Al Nuraa nyanyian asal Mawi dan Hazama.

Sementara itu, naib juara menjadi milik Adeep yang menerima wang tunai RM30,000 dan trofi. Adeep juga memenang anugerah Persembahan Terbaik yang menawarkan RM5,000 untuk disumbangkan kepada badan kebajikan terpilih.

Tempat ketiga pula dimenangi Awi Rafael yang membawa pulang wang tunai RM20,000 dan trofi. Persembahan peserta pada persaingan kemuncak dinilai juri profesional, Farihin Abdul Fattah dan Oki Setiana Dewi, manakala Datuk M Nasir sebagai juri jemputan.

Untuk tempat keempat yang menawarkan wang tunai RM15,000 dan trofi, tuah berpihak kepada kumpulan Inteam, manakala pasangan adik-beradik, Heliza dan Hazwani Helmi muncul sebagai pemenang kelima dengan menerima RM10,000 serta trofi.

Kumpulan Brothers pula meraih tempat keenam, sekali gus menerima RM5,000 dan trofi. GGV 2 menampilkan Fakhrul UNIC, Fikry Ibrahim dan Siti Nordiana sebagai pengacara.

GGV 2 turut mewujudkan anugerah sampingan menerusi undian peminat, Gema Star Of The Week yang dimenangi Inteam.

Berita Harian X