Ahad, 13 Mei 2018 | 12:23pm
DFKL buka ruang Syazuwan perkenalkan bakat. Foto: Halimaton Saadiah Sulaiman

Syazuwan 'anak emas' TV3?

KUALA LUMPUR: Bakatnya dilihat lebih menyerlah menerusi drama yang disiarkan TV3 hingga menimbulkan andaian pelakon baharu, Syazuwan Hassan, 28, adalah 'anak emas' stesen popular itu.

Bakat yang dicungkil menerusi Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016 itu bagaimanapun, menolak andaian itu kerana sama seperti pelakon baharu lain, dia juga perlu berusaha keras mencari peluang.

Pemilik nama sebenar Muhammad Syazuwan Hassan itu bagaimanapun, bersyukur kerana tanpa platform yang disediakan stesen itu, tidak mungkin dia berpeluang mengembangkan bakatnya dalam industri hiburan.

"Saya tidak boleh terlalu selesa dan mengharap, tanpa berusaha. Kehadiran ramai pelakon muda membuatkan saya perlu berusaha lebih keras. Lagipun, saya bermula agak lewat ketika usia menjengah 26 tahun.

"Disebabkan itu, setiap peluang yang ada, saya berikan yang terbaik tidak kira sama ada watak besar atau kecil," katanya.

Duta kepada DFKL 2018 yang juga pelakon utama drama, Cinta Fatamorgana di slot Akasia ini akur, namanya belum terlalu dikenali memandangkan usia pembabitannya yang masih lagi hijau.

Syazwan berkata, barangkali kerana dirinya juga bersih daripada kontroversi dan gosip membuatkan namanya kurang diperkatakan.

"Tidak mengapa, biarpun terpaksa mengambil masa, saya akan lebih berbangga jika dikenali kerana bakat. Itu lebih penting kerana bakat yang menjamin seseorang anak seni itu bertahan. Populariti mungkin membantu, tetapi untuk apa jika hanya sementara," katanya.

Kali pertama dicalonkan dalam kategori Aktor Pilihan dan Pasangan Pilihan pada kemuncak DFKL 2018, Syazwan enggan meletak harapan terlalu tinggi untuk meraih kemenangan. Dicalonkan katanya, sudah memadai memandangkan saingannya bukan calang-calang nama.

"Saya masih baharu dalam industri dan apabila dicalonkan, ia sudah memadai untuk saya bersyukur. Saya tidak bermimpi untuk menang kerana saingan terlalu sengit.

"Bayangkan saya terpaksa berdepan dengan Zul Ariffin, Syafiq Kyle dan Shukri Yahaya yang jauh lebih berpengalaman serta berpengaruh. Disebabkan itu, saya tidak meletak apa-apa harapan kerana akur perjalanan saya masih jauh," katanya.

DFKL akan berlangsung di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, jam 9 malam ini.

Berita Harian X