Jumaat, 18 Mei 2018 | 6:38pm
PENYANYI, Nabila Razali. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Nabila rindu suasana berbuka dengan keluarga

KUALA LUMPUR: Pengalaman pertama berjauhan dengan keluarga dan berpuasa di negara asing memberi kesan mendalam kepada penyanyi serta pelakon, Nabila Razali.

Dia yang kini berada di Turki kerana terikat dengan penggambaran drama, Cintaku Di Bumi Izmir selama sebulan mengakui, terlalu rindu suasana meriah ketika berbuka puasa bersama keluarganya.

Katanya, perasaan rindu itu tidak dapat dibendung kerana selama di sana, dia hanya ditemani teman pelakon dan kru yang berhempas-pulas menyempurnakan penggambaran.

"Ramadan tahun ini benar-benar memberikan kesan kepada saya. Selalunya, setiap kali menyambut Ramadan, saya akan bersama keluarga meraikan bulan mulia ini. Tetapi, suasana itu tidak lagi sama apabila saya terpaksa berpisah dengan keluarga.

"Apabila berjauhan begini, baru saya menghargai erti kasih sayang yang sebenar. Ia membuatkan saya lebih menghargai mereka yang sentiasa ada di sisi, terutama ketika susah dan senang," katanya.

Dalam luahannya di Instagram itu, Nabila turut menasihati peminatnya supaya membuang jauh perasaan benci dan belajar menghargai antara satu sama lain ketika hayat masih dikandung badan.

Bercerita pengalaman berpuasa di negara orang, penyanyi lagu Pematah Hati itu berkata, ketabahan mereka diuji apabila terpaksa melalui tempoh berpuasa yang panjang iaitu 17 jam.

"Kami dijangka pulang ke ibu kota seminggu sebelum Aidilfitri. Sukar dibayangkan bagaimana melalui tempoh puasa yang panjang itu, namun saya berharap diberi kekuatan dan semua urusan kami dipermudahkan.

'Tidak sabar rasanya mahu kembali ke tanah air untuk bersama keluarga, terutama apabila mengingati detik menanti waktu berbuka puasa. Suasana itu sangat saya rindui, namun saya perlu kuatkan hati kerana bekerja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nabila berkata, dia akan kembali bekerjasama dengan Hael Husaini dan Ezra Kong untuk menghasilkan single terbarunya tidak lama lagi.

Berita Harian X