Sabtu, 19 Mei 2018 | 10:18am
PELAKON, Farah Nabilah, akan muncul bersama drama terbaru, Halalkan Hati Yang Kucuri, siaran TV3. - Foto Aziah Azmee

Tiada masalah berlakon dengan suami orang

KUALA LUMPUR: Pelakon, Farah Nabilah, tidak menganggap pengalaman bergandingan buat julung kali dengan aktor berstatus suami orang sebagai cabaran besar untuknya.

Digandingkan dengan bintang sensasi, Aliff Aziz, 27, dalam Halalkan Hati Yang Kucuri, pelakon yang meledak dengan drama Titian Cinta itu juga tidak berasakan segala kontroversi pernah melanda artis lelaki terbabit memberikan tekanan buat dirinya.

"Sebelum ini, saya digandingkan dengan pelakon lelaki yang belum berkahwin. Kiranya, bersama Aliff, inilah projek drama pertama saya berlakon di samping aktor yang sudah berumahtangga. Begitupun, ia bukanlah masalah besar buat saya.

"Alif sendiri seorang yang mudah untuk diajak berbincang, mengenai apa yang boleh dan sebaliknya apabila kami beraksi depan kamera.

"Perbincangan itu nyata memudahkan kami meraih kata sepakat. Kami tiada masalah untuk berlakon bersama walaupun isterinya (Bella Astillah) berada di set penggambaran," katanya.

Menerusi drama berkenaan, Farah mengaku, watak Delisha Daud yang dipegangnya begitu mencabar emosi dan kemampuannya sebagai pelakon.

"Saya memilih cerita ini kerana watak Delisha memerlukan saya bermain dengan banyak karakter. Delisha dilahirkan dalam keluarga kaya dan mendapat apa saja yang diinginkan olehnya. Semua itu membuatkannya berlagak, bongkak dan memandang rendah kepada orang lain.

"Delisha juga suka menghina insan lain. Hendak dijadikan cerita, karma datang kepadanya. Dia akhirnya jatuh miskin hingga menjadi gelandangan. Jika hendak tahu kisah selebihnya, kenalah tengok drama arahan Hashim Rejab ini bermula 22 Mei, yang disiarkan menerusi slot Akasia, TV3," katanya.

Kata Farah lagi, pada mulanya dia berasakan watak Aisy yang dilakonkan dalam Titian Cinta, bersama Zul Ariffin, sudah begitu berat untuknya.

"Namun ternyata, watak dalam drama terbaru ini lebih mencabar. Bagaimanapun, ia bukanlah kisah cinta, sebaliknya naskhah yang sarat dengan drama dan cerita kehidupan," katanya.

Ketika ini, Farah, 26, sibuk di lokasi penggambaran drama kandungan berjenama berjudul Ms Emoji Mr Data.

Berita Harian X