Ahad, 20 Mei 2018 | 3:18pm
BAKAT remaja, Nabil Aqil. Nurul Syazana Rose

'Uncle Syafiq yang ajar'

KUALA LUMPUR: Bakat remaja, Nabil Aqil mengaku bapa saudara, Syafiq Kyle menjadi antara pendorong utama dirinya terjun ke bidang seni.

Nabil, 20, memberitahu, Syafiq banyak membakar semangatnya untuk mencabar diri menjadi pelakon.

Tidak hairanlah, Nabil mengikut jejak langkah Syafiq dengan menyertai pertandingan Hero Remaja, tahun lalu, sebagai batu loncatan meneroka dunia peragaan dan hiburan.

"Ketika Uncle Syafiq menyertai Hero Remaja, saya baru belajar di tahun enam. Memang beliau galakkan saya sertai pertandingan sama.

"Saya teringat lagi, ketika itu, dengan wajah tak berkemas, saya pergi ke uji bakat hingga lepas ke saringan berikutnya," katanya kepada BH Online.

Nabil atau nama sebenarnya, Muhammad Nabil Aqil Muhammad Salehudin, menjadikan Syafiq sebagai idola.

"Uncle Syafiq adalah mentor saya... Moga suatu hari nanti, saya dapat berlakon dengannya.

"Beliau banyak menegur dan menasihati. Malah, dia pernah marah dan meminta saya kuat daripada segi mental serta jangan pantas menyerah," katanya.

Sebelum ditawarkan projek besar, Nabil memberitahu, dia pernah menjadi pelakon tambahan dalam drama Papa Ricky yang disiarkan pada 2014 dan Degup Cinta, tahun lalu.

"Drama Mr Grey adalah taruhan pertama saya tahun ini. Saya juga ditawarkan berlakon dalam drama Striker Hati Ayah bersama Adam Lee dan Elfira Loy," katanya yang kini berlakon sepenuh masa.

Nabil berkata, sebelum ini, dia terfikir hendak menjadi jurubina dan melakukan kerja peragaan secara sambilan.

"Tapi nampaknya, minat terhadap dunia lakonan membuak-buak. Saya suka membawa bermacam-macam watak dalam televisyen (TV).

"Insya-Allah, siapa tahu selepas ini, jadi pelakon filem pula. Tapi saya kena asah bakat lakonan dalam drama TV sebaik mungkin," katanya.

322 dibaca
Berita Harian X