Selasa, 22 Mei 2018 | 11:53am
PELAKON Erry Putra. - Foto Owee Ah Chun

Keluarga tak restu cinta Erry Putra, Fara Hezel

KUALA LUMPUR: Pelakon Erry Putra, 40, hanya sempat lima bulan menjalin cinta dengan penyanyi baharu, Fara Hezel sebelum mengambil keputusan membawa haluan sendiri kerana tidak mendapat restu keluarga.

Pelakon yang dikenali menerusi drama Manjalara dan filem Bicara Hati itu berkata, pergaduhannya dengan kakak Aiman Tino itu di laman sosial turut mengeruhkan lagi keadaan hingga membuatkan hubungan mereka renggang.

"Kami berkenalan ketika sama-sama bermain futsal dan sejak itu, berkawan baik. Seboleh mungkin, saya tidak mahu orang luar tahu mengenai hubungan kami.

"Namun, apabila hubungan kami mula dihidu, ramai menganggap ia sebagai gimik memandangkan masing-masing sedang memperkenalkan single terbaru.

"Namun, sejak tercetus pergaduhan di laman sosial, kami tidak lagi berhubung dan mengambil langkah berdiam diri. Keluarga juga tidak menerima hubungan ini, jadi lebih baik kami bawa haluan sendiri," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakannya yang sering memuat naik gambar bersama seorang jejaka di laman Instagram hingga mencetuskan tanggapan negatif netizen, Erry berharap, peminat tidak pantas menjatuhkan hukuman.

Menepis tuduhan mengamalkan gaya hidup songsang, Erry yang juga penyanyi berkata, jejaka dikenali sebagai Syafiq Putra, 23, itu adalah adik tirinya yang sedang mencari tapak untuk diketengahkan.

"Dengan memuat naik gambar kami berdua di Instagram, sedikit sebanyak dapat membantu memperkenalkan namanya kepada penggiat industri hiburan. Sebelum ini, susah untuk Syafiq ke depan memandangkan dia kurang keyakinan diri.

"Dia pernah mencuba bakat dalam bidang lakonan, tetapi selepas beraksi dalam satu telefilem, Syafiq enggan teruskan kerana tidak berminat. Saya cuba pula perkenalkan dia dalam bidang nyanyian menerusi lagu duet kami, Aku Tahu kerana itu minat dia," katanya.

Tidak terkesan dengan tuduhan itu, Erry yang ditemui pada majlis pelancaran dan Iftar Havoc Raya 2018 di Cheras Sentral, di sini, berharap dengan penjelasan yang diberikan dapat memperbetulkan persepsi ramai terhadapnya.

Berita Harian X