Selasa, 22 Mei 2018 | 4:38pm
ANDI Bernadee cari kelainan menerusi lagu Semalam Sahur Di Mana. - Foto Eizairi Shamsudin

Andi Bernadee rakam lagu sahur

KUALA LUMPUR: Selepas mencuri perhatian menerusi lagu parodi, Tak Tun Tuang, penyanyi Andi Bernadee kembali dengan single yang dirakam khas untuk meraikan Ramadan, Semalam Sahur Di Mana.

Lagu nyanyian asal penyanyi rap terkenal Indonesia, Roy Ricardo itu dirakamkan Andi seminggu sebelum puasa untuk menggambarkan suasana dan kepentingan bersahur.

"Lagu judul asal Semalem Sahur Di Mana itu memberi cabaran baharu kerana ia berentak hip-hop. Kebiasaannya setiap kali Ramadan, kita akan memberi lebih fokus kepada waktu berbuka.

"Namun, kali ini saya mencari kelainan dengan mengetengahkan kisah berkaitan sahur. Lagu ini bagi saya, mudah menawan hati pendengar kerana ia seperti mengusik kawan," katanya.

Andi atau nama penuhnya, Andi Azrul Andi Mapangile berkata, Semalam Sahur Di Mana diberi susunan muzik baharu oleh Ikhwan, manakala liriknya diubah sedikit Omar K untuk disesuaikan dengan budaya dan cara hidup penduduk di negara ini.

Penyanyi yang pernah mencetus fenomena pada akhir tahun lalu menerusi nyanyian parodi Tak Tun Tuang bagaimanapun, enggan selamanya terus bersandar kepada populariti lagu rakaman semula.

Dia yang pernah tampil dengan single Tiada Lagi Maaf akan muncul dengan lagu terbaru yang bakal menemui peminat selepas sambutan hari raya nanti.

"Saya berharap percubaan terbaru itu akan membantu memahat nama saya selepas single terdahulu gagal mendapat tempat di hati peminat.

"Sepanjang Ramadan ini, selain mempromosikan Semalam Sahur Di mana, saya juga akan luangkan masa untuk melipatgandakan amalan menerusi kerja amal seperti melawat rumah orang tua dan mengedarkan bubur lambuk," katanya.

Semalam Sahur Di Mana boleh didengar di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan Apple Music bermula 25 Mei ini serta dibawakan Warner Music (M) Sdn Bhd.

Berita Harian X