Ahad, 27 Mei 2018 | 2:55pm
DATUK Dahlan Zainuddin di Malam Kisah Seorang Biduan Bersama Datuk Dahlan Zainuddin yang diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin
DATUK Dahlan Zainuddin di Malam Kisah Seorang Biduan Bersama Datuk Dahlan Zainuddin yang diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Berilah saya peluang menyanyi - Dahlan Zainuddin

KUALA LUMPUR: Penyakit angin ahmar yang menyerang dua tahun lalu sekelip mata merubah hidup penyanyi popular era 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin, 78.

Ditambah pelbagai penyakit sampingan lain seperti masalah jantung membuatkan pergerakan Dahlan terbatas hingga menyukarkannya kembali menyanyi. Sedangkan, selama ini, bidang itulah yang menjadi punca rezekinya.

Namun, semangat bintang veteran ini cukup kuat dalam menghadapi ujian. Sedikit pun tiada keluhan yang terpacul dari mulutnya.

Malah, seboleh mungkin, beliau enggan meminta-minta walaupun andai dilihat tahap kesihatannya itu, Dahlan memang layak berbuat demikian.

Bertemu penyanyi ini pada majlis Malam Kisah Seorang Biduan Bersama Datuk Dahlan Zainuddin di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini, semangat itulah yang ditunjukkannya kepada tetamu.

Walaupun berdepan kesukaran, Dahlan gigih menghiburkan tetamu yang rata-ratanya peminat dan rakan karibnya.

Mengakui masih ingin berkongsi bakat dianugerahkan Tuhan kepadanya, Dahlan menaruh harapan akan ada mana-mana pihak sudi menawarkan undangan menjayakan persembahan.

"Kalau hendak dibandingkan dengan keadaan saya dua tahun lalu, sekarang banyaklah perubahannya. Cuma, saya masih lagi menjalani rawatan susulan di empat hospital.

"Walaupun kos perubatan tidak begitu mahal kerana ditanggung kerajaan, namun kami tetap memerlukan perbelanjaan daripada segi pengangkutan," katanya kepada BH Online.

Dahlan berkata, dia sudah menjual kereta miliknya berikutan tidak mampu melunaskan bayaran bulanan.

"Jadi, untuk ke hospital, saya gunakan khidmat kereta sewa Grab saja. Kalau rawatan dilakukan di Hospital Putrajaya, bagi perjalanan sehala, bayarannya mencecah RM95. Bayangkan kalau ulang-alik, bermakna saya kena bayar hampir RM200.

"Berikutan itu, saya sangat berharap ada pihak yang sudi menawarkan saya 'show'. Janganlah dipinggirkan orang seperti saya ini.

"Saya sebenarnya tidak suka untuk meminta-minta. Selagi saya boleh menyanyi, biarlah saya gunakan bakat itu untuk mencari rezeki," katanya yang ditemani isteri tercinta yang juga penyanyi popular sezamannya, Datin Effa Rizan.

Ditanya apakah beliau masih menerima tawaran mengadakan persembahan, Dahlan berkata, kekerapannya tidaklah seperti ketika dirinya masih sihat dulu.

"Ada tawaran yang datang, tetapi tidaklah semeriah dulu. Kadang-kadang, dua bulan saya tidak ada 'show'... Memang tersandar dibuatnya. Terpaksalah berharap pada duit simpanan demi kelangsungan hidup.

"Kalau saya nak bekerja, siapa pula yang sudi mahu mengambil orang yang berusia 78 tahun macam saya ini?" katanya.

Bagi mengelak salah tanggapan masyarakat, Effa menjelaskan, sebagai isteri, beliau tidak pernah memaksa suaminya untuk menyanyi walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

"Saya masih waras. Takkanlah saya nak biarkan suami saya menyanyi dalam keadaan dia sakit? Sepanjang dua tahun ini, saya banyak menjaganya.

"Tidak dinafikan, memang merosot juga duit simpanan yang ada. Hanya selepas keadaannya semakin pulih, barulah saya berani keluar menyanyi semula.

"Seperti yang diinginkan suami, saya berharap ada pihak yang sudi memberi kami peluang menyanyi. Nak minta bantuan pada mana-mana pihak, terus-terang saya memang tak tahu bagaimana caranya," katanya yang cukup popular menerusi lagu Rasa Hati ini.

Dua tahun lalu, Dahlan diserang angin ahmar ketika berada di Perlis bagi menghadiri program berbuka puasa bersama anak yatim.

Beliau juga pernah dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan serangan angin ahmar dan jangkitan kuman di paru-paru. Selain itu, Dahlan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung, 11 tahun lalu.

Mengulas penganjuran majlis itu, Dahlan meluahkan rasa terharu kerana masih ada pihak yang sudi menghargai segala jasa dan baktinya sepanjang lebih empat dekad berada dalam industri seni.

"Pada awalnya, saya dimaklumkan acara ini adalah majlis makan malam biasa. Tidak sangka pula apabila saya sampai saja di sini, rupa-rupanya ia adalah satu 'tribute' untuk saya.

"Lebih membuatkan saya terharu, malam penghargaan ini dibuat oleh teman rapat dan peminat saya, bukannya daripada pihak industri hiburan," katanya.

Pada majlis itu, pelakon filem Kisah Seorang Biduan ini turut menerima RM100,000 hasil sumbangan beberapa syarikat korporat dan individu.

Penyerahan bantuan itu disempurnakan penganjur majlis berkenaan, Aryan Farhan Lokman, yang juga anak wartawan hiburan veteran, Zieman.

Berita Harian X