Selasa, 29 Mei 2018 | 8:45pm
ALINA terpaksa menolak undangan persembahan selepas kakinya patah akibat terjatuh ke dalam longkang. - Foto Ihsan Alina Hassan
ALINA terpaksa menolak undangan persembahan selepas kakinya patah akibat terjatuh ke dalam longkang. - Foto Ihsan Alina Hassan

Alina Hassan patah kaki jatuh longkang

KUALA LUMPUR: Pemenang tempat ketiga program realiti, Mentor Otai, Alina Hassan patah kaki kiri selepas terjatuh ke dalam longkang, malam kelmarin.

Akibat kemalangan yang turut mencederakan beberapa bahagian badannya itu, Alina, 50, terpaksa membatalkan beberapa persembahan berikutan sukar bergerak.

"Ketika kejadian, saya dan beberapa teman sedang berjalan pulang ke rumah selepas berbuka. Ketika itu, saya ketinggalan di belakang. Sedang asyik melangkah, saya tak perasan di hadapan ada longkang besar lalu terjatuh.

"Mujurlah longkang itu kering. Saya dibawa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Hanya selepas dirujuk di Hospital Kuala Lumpur (HKL), barulah saya tahu kaki kiri patah," katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan lain, bekas juara Sinaran Pasport Kegemilangan terbitan TV3 pada 1996 ini masih risau dirinya belum ada rumah.

"Buat masa ini, saya menumpang di rumah sahabat. Ditambah dengan keadaan sekarang, agak sukar untuk saya menguruskan diri. Hendak berjalan pun perlahan-lahan... Lagilah saya tertekan," katanya.

Alina berkata, permohonan untuk mendapatkan bantuan kediaman belum mendatangkan hasil.

"Ada saranan saya minta tolong Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave... Insya-Allah, saya akan cuba," katanya.

Berita Harian X