Selasa, 29 Mei 2018 | 9:17pm

Fattah, Fazura simpati nasib Syafiq

SHAH ALAM: Fattah Amin dan isterinya, Nur Fazura bersimpati terhadap Syafiq Kyle yang ketika ini berdepan kontroversi video mengaibkan, sejak rakaman itu viral, beberapa hari lalu.

Fattah memberitahu, sebagai sahabat, dia berharap isu berkenaan diselesaikan dengan baik oleh Syafiq dan pihak pengurusannya.

"Bagi saya, gosip boleh berlaku pada mana-mana selebriti termasuk diri saya. Kita harus bersedia dalam menghadapi perkara ini.

"Sudah namanya gosip, belum tentu betul atau salah. Macam saya, jika kontroversi tercetus, saya akan berbincang dengan pihak pengurusan. Ini kerana kadang-kala kita tidak tahu bagaimana mahu uruskan isu yang timbul.

"Saya dan isteri (Fazura) bersimpati dengan Syafiq... Apatah lagi perkara ini berlaku pada bulan Ramadan," katanya kepada media selepas majlis pelancaran single Aidilfitri dendangannya berjudul Syawal Kali ini di sebuah pusat beli-belah di sini, sebentar tadi.

Terkini, Syafiq Kyle tampil menjelaskan dirinya dan pihak pengurusan memandang serius kontroversi video tular itu dan sedang mencari jalan penyelesaian terbaik menanganinya.

Dalam kenyataannya melalui Instagram, petang tadi, Syafiq berharap kesulitan yang timbul susulan penyebaran video terbabit ditamatkan segera lebih-lebih lagi ketika umat Islam menyambut Ramadan.

Sejak beberapa hari lalu, rakaman video lucah yang memaparkan lelaki mirip Syafiq selain paparan skrin perbualan yang dikatakan antara pelakon itu dan individu lain, viral di laman sosial.

Dalam perkembangan sama, Fattah menasihatkan orang ramai supaya tidak terus menyebar atau bercakap mengenai isu membabitkan Syafiq kerana dikhuatiri boleh mengeruhkan lagi keadaan.

"Bayangkan, jika kita sebarkan isu ini, secara tak langsung kita mengambil bahagian dalam perkara yang tercetus... Lebih baik berdiam," katanya.

PENYANYI, Fattah Amin melancarkan single raya Fattah Amin berjudul Syawal Kali Ini di SACC MALL. - Foto Rohanis Shukri
Berita Harian X