Rabu, 30 Mei 2018 | 1:19pm
LISA Surihani bersama suami, Yusry Abdul Halim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Selesa kerja dengan suami, lupa berlakon'

KUALA LUMPUR: Pelakon Lisa Surihani mengaku selesa bekerja dengan suami, Yusry Abdul Halim hingga sudah lama tidak muncul dalam drama televisyen (TV) dan filem.

Keselesaan itu bagai mendorong aktres berusia 32 tahun itu melupakan dunia lakonan selepas melahirkan anak sulung, Yahaira Leanne yang berusia tiga tahun.

Mengaku rindu dunia lakonan, kesibukan mengasuh dua cahaya mata termasuk anak bongsu, Yusof Leonne yang berusia setahun, selain menguruskan syarikat suami, membataskan masa Lisa untuk kembali ke set.

"Apabila saya dan suami bekerja, moodnya baik dan profesional. Berselisih faham itu normal. Biarpun berselisih pendapat atau bercanggah idea, kami tetap profesional dalam membuat keputusan.

"Kami letak ketepi ego masing-masing dalam urusan kerja. Biarpun saya masih dalam proses belajar jika dibandingkan Yusry yang sudah 26 tahun berpengalaman dalam bidang seni kreatif, saya tiada masalah bekerja dengannya dan sangat selesa," katanya kepada BH Online.

Bernaung di bawah syarikat pengurusan, Rocketfuel Entertainment, Lisa berkata, organisasi terbabit merancang membawa dirinya kembali aktif dalam drama TV.

"Saya kena tengok dulu bagaimana... Saya mesti lihat skrip dan jadual penggambaran sebab anak-anak masih kecil. Jadi, kenalah ikut jadual saya," katanya.

Sangat menitik beratkan soal keluarga dan pembesaran anak-anak, bintang filem Suamiku, Encik Perfect 10 ini, tidak mahu karier seni menjadi punca dia mengabaikan tugas ibu.

Menceritakan pengalaman membesarkan anak-anak, Lisa memberitahu, niat dia dan suami untuk membiasakan Yahaira ke sekolah, terpaksa ditangguhkan.

"Saya cuba hantar Yahaira ke sekolah, tetapi dia dijangkiti Influenza A. Selepas keluar dari hospital dan kembali ke sekolah, sakit lain pula datang.

"Jadi, kami beli bahan bacaan dan muat turun aplikasi untuk dia belajar di rumah. Buat masa sekarang, biarlah dia belajar di rumah dulu," katanya.

Seperti insan lain, ketibaan Ramadan dimanfaatkan Lisa untuk beribadat dan meluangkan masa bersama keluarga.

Berita Harian X