Khamis, 31 Mei 2018 | 9:17am
LUFYA hargai pandangan pelbagai pihak terhadap caranya mendidik anak. - Foto Rosela Ismail
LUFYA hargai pandangan pelbagai pihak terhadap caranya mendidik anak. - Foto Rosela Ismail

'Salahkah beri pendedahan awal?'

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Lufya Omar, 33, tidak menyangka tindakannya memakaikan bayinya yang berusia enam bulan, Laana Haura tudung dijadikan isu oleh segelintir pihak.

Lufya atau nama penuhnya, Lutfyah Sheikh Omar berkata, dia hanya mahu memberi pendedahan awal terhadap bayinya dan tudung itu hanya disarung untuk beberapa minit.

"Saya tahu ramai yang mengambil berat apabila saya gemar memuat naik gambar anak di laman sosial. Saya cuma mahu berkongsi perkembangan tumbesarannya, tidak sangka pula ramai yang memberikan perhatian.

"Daripada memuat naik gambar sendiri, lebih baik saya berkongsi pertumbuhan anak. Dapat juga saya berkongsi ilmu dan belajar sesuatu yang baharu daripada pengikut. Saya hargai setiap pandangan dan tidak perlu melatah.

"Saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan perkara yang baik untuk puteri kesayangan. Dia juga sudah mempunyai akaun Instagram sendiri iaitu @laanahaura," katanya kepada BH Online.

Lufya berkata, di sebalik perkongsian itu, dia tetap berhati-hati kerana bimbang jika foto anaknya disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan tidak baik.

Ditanya mengenai perkembangan terbaru, Lufya berkata, selain menguruskan anak, dia juga berusaha menurunkan berat badannya sebelum kembali aktif menerima tawaran, terutama berlakon.

"Sudah lebih setahun saya berehat sejak hamil, seterusnya melahirkan anak. Melihat anak yang sudah semakin besar, tiba masa untuk saya kembali aktif.

"Ketika ini, saya berusaha menjaga pemakanan dan bersenam untuk mendapatkan berat badan ideal. Ia perlu untuk disesuaikan dengan penampilan di skrin televisyen," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X