Jumaat, 1 Jun 2018 | 3:45pm
PENYANYI, Siti Sarah dan suami, Shuib, hadir pada majlis berbuka puasa Indigital dan LOL Entertainment di Hotel Royal Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa
SARAH berkongsi gambar dirinya bertudung sejak kembali daripada mengerjakan ibadat umrah, baru-baru ini. - Foto Instagram Siti Sarah

'Doakan semoga saya istiqamah'

KUALA LUMPUR: "Doakan semoga saya istiqamah," kata penyanyi, Siti Sarah Raissuddin, ketika mengulas mengenai imej terbarunya selepas kembali daripada mengerjakan ibadat umrah, baru-baru ini.

Menjadikan tiga selebriti iaitu Rozita Che Wan, Neelofa dan Nabila Razali sebagai rujukan, Sarah mengaku tertarik dengan cara artis jelita berkenaan menggayakan tudung.

"Sedikit sebanyak, saya mengambil gaya diserlahkan mereka sebagai rujukan dalam memakai tudung. Biarpun berhijab, namun masing-masing bijak bergaya dan mengikut aliran fesyen terkini," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital dan LOL Entertainment, di sini.

Sebelum itu, Sarah tidak pernah membuat kenyataan mengenai imej baharunya sejak dia dan suami, Shuib, kembali dari Tanah Suci, walaupun dilihat mengenakan tudung menerusi foto yang dimuat naik di laman sosialnya.

Bercerita mengenai pengalaman umrahnya pula, Sarah, 33, berkata banyak perbezaan dirasakan ketika menjejakkan kaki ke Makkah dan Madinah, baru-baru ini.

- Foto Instagram Siti Sarah

SARAH berkongsi gambar dirinya bertudung sejak kembali daripada mengerjakan ibadat umrah, baru-baru ini. - Foto Instagram Siti Sarah

"Biarpun ia pengalaman kedua saya menunaikan umrah, namun banyak perbezaannya dengan kunjungan sebelum ini. Selain dapat beribadat bersama suami, keadaan di Tanah Suci juga banyak berubah berbanding dulu.

"Alhamdulillah, sukar untuk saya ungkap pengalaman beribadat kali ini. Selain berpeluang untuk berpuasa di sana, kali ini saya lebih mendalami ibadat jika dibandingkan dengan umrah pertama dulu," kata Sarah.

Jika umrah berkenaan adalah yang pertama bagi Shuib, Sarah pula pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci, 13 tahun lalu.

Sementara itu, pada majlis sama, Sarah turut mengulas mengenai single baharunya, Semakin, yang dikatakan mirip lagu nyanyian penyanyi seberang, Agnes Monica.

"Memang sejak awal lagi saya sendiri menginginkan lagu seakan-akan Agnes kerana meminati naskhah dendangannya. Namun, apa yang pasti, melodinya tidak sama langsung.

"Begitupun, saya memang ada terdengar mengenai perkara ini, cuma belum berkesempatan untuk mengulas lanjut. Kalau ditanya lagu apa yang sama, pastinya tidak dapat disebutkan judul dendangan Agnes itu," kata Sarah.

Berita Harian X