Sabtu, 2 Jun 2018 | 10:30am
NAZRIEF ringan tulang bantu ibu berniaga sepanjang Ramadan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
NAZRIEF ringan tulang bantu ibu berniaga sepanjang Ramadan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Nazrief pernah jadi bilal di kampung

KUALA LUMPUR: Kenangan melaungkan azan setiap kali masuk waktu berbuka puasa ketika zaman kanak-kanak menjadi antara memori manis yang sentiasa subur dalam ingatan pelakon, Nazrief Nazri.

Nazrief, 27, berkata dia menggalas tanggungjawab sebagai bilal kanak-kanak di sebuah masjid di kampung halamannya ketika membantu ibu berniaga di bazar Ramadan.

"Saya sudah biasa menolong emak berniaga di bazar Ramadan sejak kecil lagi. Kebetulan, gerai kami paling hampir dengan masjid.

"Mungkin kerana saya kerap berada di situ, jawatan kuasa di masjid memberikan kepercayaan untuk saya melaungkan azan.

"Sudah tentu saya teruja kerana dalam ramai kanak-kanak dan remaja di kampung, saya menjadi pilihan mereka. Ia pengalaman paling berharga," katanya yang hingga ini masih membantu ibunya berniaga.

Biarpun sibuk memenuhi tawaran berlakon, undangan berbuka puasa selain mempromosikan drama rantaian terbarunya, Air Mata Di Bumi Matador, anak jadi Negeri Sembilan itu tetap aktif berniaga.

"Saya masih bekerja seperti biasa. Berpuasa bukan alasan untuk berehat, malah saya bukan jenis yang suka duduk diam. Mujur tahun ini, jadual penggambaran tidak padat seperti Ramadan tahun lalu.

"Dapat juga saya tolong emak berniaga. Ramadan ini, kami menjual makanan kering seperti serunding daging, sambal ikan bilis, kerepek dan beberapa produk lain," katanya.

Mengenai drama bersiri 26 episod arahan Rahila Ali yang mula ditayangkan di TV2 sejak 30 Mei lalu, Nazrief berkata, penggambaran selama 25 hari di Sepanyol memberi cabaran tersendiri buat dirinya.

Bekerja dalam cuaca tidak menentu menuntutnya supaya kental, namun semua dugaan itu dapat diatasi apabila berpeluang bergandingan dengan pelakon yang sangat profesional dan berdisiplin.

Selain Nazrief, kisah cinta penuh emosi itu turut membariskan Ben Amir, Eyka Farhana, Puteri Aishah, Shakilla Khoriri dan Arash Mohamad.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X