Rabu, 6 Jun 2018 | 9:25am
PELAKON, Hanis Zalikha, Yusof Iskandar dan Hairul Azreen di Jakel. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Hairul mahu anak jadi lasak

KUALA LUMPUR: Pelakon Hairul Azreen, 28, tidak kisah dikecam, sebaliknya mengakui berbangga dapat mendidik anaknya, Yusuf Iskandar supaya berani melakukan aktiviti lasak.

Hairul berkata, sebagai bapa, dia begitu menitikberatkan kemampuan diri dan cara didikannya itu sentiasa dipantau isterinya, Hanis Zalikha yang sering mengingatkan aktiviti bersesuaian untuk dilakukan anak kecil.

"Saya gembira dengan pendedahan yang diberikan kepada Yusuf. Saya ajar dia melompat sampaikan emak saya sendiri marah, tetapi Hanis ada untuk mengingatkan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebagai langkah berhati-hati," katanya.

Biarpun tidak mempunyai banyak pengalaman memandangkan Yusuf adalah cahaya pertamanya, Hairul berpuas hati apabila permata hatinya itu membesar menjadi anak yang lasak.

Kecenderungan Yusuf itu juga membuatkan Hairul terfikir untuk meneroka lebih jauh potensi anaknya itu. Pada masa sama, Hairul turut bersyukur melihat perkembangan positif anaknya dalam pembelajaran.

"Dalam hal berkaitan akademik, saya serahkan tanggungjawab itu kepada Hanis. Saya lihat Yusuf cepat belajar. Tanpa saya sedar, dia sudah boleh mengenal abjad dan sekarang mula belajar mengira," katanya.

Hairul adalah antara pelakon yang menjayakan drama mini Pelangi Cinta yang diarahkan Isma Yusoof. Drama mini lima episod yang disiarkan TV3 pada setiap Isnin bermula 7 Mei itu menampilkan Mira Filzah sebagai Bunga, turut bergandingan dengan Syafiq Kyle, Shukri Yahaya dan Aiman Hakim Ridza.

Berita Harian X