Jumaat, 8 Jun 2018 | 12:04pm
ARIFF Bahran berjinak-jinak menyanyikan lagu nasyid sejak usia 12 tahun. - Foto Mahzir Mat Isa

Peminat menangis dengar alunan zikir Ariff Bahran

KUALA LUMPUR: Pencapaian cemerlang lagu zikir, Hasbi Rabbi yang mencatat lebih 700,000 tontonan sejak dimuat naik di YouTube pada 17 Mei lalu meyakinkan penyanyi baharu, Ariff Bahrin untuk terus merakamkan lagu rohani.

Terharu apabila ada peminat menitiskan air mata mendengar alunan itu, Ariff atau nama lengkapnya, Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 20, tidak menyangka idea spontan yang dicetuskan ibunya membuahkan hasil membanggakan.

"Saya mula menyanyikan lagu nasyid sejak usia 12 tahun. Apabila syarikat rakaman, Rusa Music menonton video persembahan saya itu, mereka memberikan idea supaya saya merakamkan Hasbi Rabbi.

"Untuk memberikan lebih impak, mereka mencadangkan supaya saya bergabung dengan tiga penyanyi lain, Asfan Shah, Ayie Elham dan Syafiq Farhain. Melihat sambutan hebat itu, terdetik juga di hati untuk mengeluarkan single kerohanian terbaru," katanya.

Ketika ini, penuntut Universiti Antarabangsa Malaysia-Wales dalam jurusan Asas Seni itu mahu terlebih dahulu menumpukan kepada penerbitan single keduanya.

Ariff berkata, lagu terbarunya itu masih mempertahankan genre pop balada sama seperti single pertamanya, Kata Akhirmu.

"Single kedua saya akan menyusul selepas raya nanti. Setakat ini, kami masih lagi dalam proses pemilihan dan saya berharap, single itu nanti akan mengulangi kejayaan Kata Akhirmu yang meraih hampir 11 juta tontonan," katanya.

Pernah dilabel sombong kerana berat mulut untuk bertegur sapa ketika awal kemunculannya, Ariff berkata, industri muzik membentuknya menjadi lebih yakin bersuara.

"Banyak perkara baharu yang belajar, malah saya berterima kasih atas setiap teguran yang diberikan. Saya ambil kira semua pandangan, sama ada baik atau negatif yang dilontarkan di media sosial.

"Sebagai artis, saya kita lagi boleh bersikap sambil lewa jika ingin terus bertahan. Saya perlu berubah demi masa depan dalam industri muzik," katanya.

Berita Harian X