Sabtu, 9 Jun 2018 | 1:15pm
PENYANYI Rap, Caprice. - Foto Khairul Azhar Ahmad
PENYANYI Rap, Caprice. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Saya memang boleh cakap Melayu - Caprice

KUALA LUMPUR: Menyahut cabaran peminat, penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice, memuat naik video dirinya bertutur menggunakan bahasa Melayu ke laman sosial Instagramnya, baru-baru ini.

Tindakan artis berusia 31 tahun itu tentu saja mendapat perhatian pelbagai pihak berikutan dirinya sering menggunakan bahasa Inggeris dalam log video beliau sebelum ini.

"Semuanya bermula daripada tindakan saya menegur peminat yang sering merungut mengenai ketiadaan kerja walaupun mereka mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

"Saya mencabar mereka untuk mencipta peluang sendiri daripada terus menunggu tawaran pekerjaan.

"Mungkin disebabkan hal itu, mereka pula kemudian mencabar saya untuk keluar dari zon selesa dengan bercakap sepenuhnya dalam bahasa Melayu," kata Caprice yang turut dikenali sebagai penceramah motivasi.

Menurut pengasas aplikasi Mengaji.Com ini lagi, walaupun lebih selesa berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris, cabaran diberikan kepadanya bukanlah sesuatu yang sukar memandangkan beliau memang boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan.

"Saya faham situasi mereka yang masih tidak bekerjaya. Selain terus menunggu tawaran pekerjaan, saya cadangkan mereka untuk meneroka pelbagai peluang yang disediakan oleh kerajaan mahupun pihak lain.

"Contoh terbaik saya nampak adalah melalui program 'YouCanDuit' di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Mereka membuka peluang untuk sesiapa saja mencipta sumber pendapatan sendiri," katanya.

Selain menerima lebih 2,000 komen dan 300,000 'like' daripada netizen di laman sosial Instagram untuk perkongsian terbabit, ia juga diparodikan oleh beberapa selebriti tempatan seperti Syuk SYJ, Azrul Cham, Bell Ngasri dan Zulin Aziz di laman sosial masing-masing.

Berita Harian X