Isnin, 11 Jun 2018 | 9:39am
KHAI sambut raya bersama keluarga di Perlis. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KHAI sambut raya bersama keluarga di Perlis. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Khai Bahar melaram baju raya hadiah peminat

KUALA LUMPUR: Syawal ini, rezeki penyanyi Khai Bahar begitu murah apabila menerima hadiah lebih 12 pasang baju Melayu untuk digayakan sepanjang musim Aidilfitri nanti.

Khai yang akan mula bercuti bermula 12 Jun ini untuk pulang ke kampung halamannya di Perlis menganggap dirinya bertuah kerana disayangi peminat.

"Setakat ini, sudah 12 pasang baju Melayu yang saya terima dan dimaklumkan masih ada peminat yang sudi menghadiahkan pakaian untuk digayakan pada musim raya nanti. Saya sangat beruntung kerana mempunyai peminat yang begitu baik hati.

"Saya akan pakai semua baju itu nanti, memandangkan saya perlu menghadiri pelbagai acara termasuk rumah terbuka selepas raya nanti. Ia juga sebagai tanda saya menghargai setiap pemberian mereka," katanya.

Penyanyi yang digilap bakat menerusi aplikasi Smule itu memaklumkan, dia akan bercuti selama lapan hari untuk menyambut Aidilfitri.

Mengakui teruja menanti saat untuk pulang ke kampung, penyanyi yang popular dengan lagu Bayang itu turut membantu keluarga membuat persiapan menanti hari mulia.

"Tahun ini, kami sekeluarga memilih rona ungu. Selain untuk mak dan ayah, saya juga menyediakan kelengkapan hari raya untuk adik yang masih bujang. Ada sedikit peruntukan saya sediakan kerana saya tidak mahu berlebih-lebihan.

"Mengenai perancangan rumah terbuka seperti tahun lalu, rasanya tidak sempat memandangkan masa agak suntuk. Kalau mahu menganjurkannya, saya kena buat persediaan awal.

"Saya beruntung kerana peminat memahami. Biarpun tahu saya balik kampung, mereka tidak mengganggu. Lagipun, ini masanya untuk saya berehat dan bersama keluarga memandangkan sebelum ini saya agak sibuk," katanya.

Sepanjang Ramadan ini, Khai tampil dengan dua single terbaru, Cinta Syurga duet bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cahaya 114.

Berita Harian X