Khamis, 14 Jun 2018 | 1:08pm
PELAKON, Rozita Che Wan. - Foto Mahzir Mat Isa
PELAKON, Rozita Che Wan. - Foto Mahzir Mat Isa

Lagu raya Siti bangkit 'mood' Che Ta

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rozita Che Wan, 45, mengaku bersemangat membeli-belah menyambut Aidilfitri setiap kali mendengar lagu Sesuci Lebaran dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Selain itu, lagu Satu Hari Di Hari Raya yang dipopularkan Datuk M Nasir juga menjadi pilihan Rozita atau mesra disapa Che Ta dalam membangkitkan 'mood' menyambut 1 Syawal.

"Kalau dengar lagu-lagu itu dimainkan, rasa tak sabar hendak beraya. Saya jadi ghairah hendak membeli-belah. Bagi saya, lagu memainkan peranan penting untuk menaikkan 'mood' berbelanja hingga jadi teruja.

"Sedar tak sedar, banyak yang diborong sebab terlalu leka. Kalau hendak membeli-belah, saya kena ada 'mood'. Kalau lagi dua minggu hendak (sambut) hari raya sudah dengar lagu-lagu dimainkan, saya rasa seronok, macam esok hendak beraya," katanya kepada BH Online.

Tambah Rozita, dia tidak sabar menyambut lebaran di kampung halaman di Alor Setar, Kedah.

"Hari raya pertama kami akan beraya di rumah nenek Zain di Gombak, Selangor. Jadi, pada Syawal kedua, barulah saya balik ke kampung.

"Pada mulanya, kami merancang hendak beraya di Australia, tetapi disebabkan anak-anak ada peperiksaan, jadi tak dapat dilaksanakan," katanya.

Mengenai persalinan untuk Aidilfitri, Rozita berkata, tahun ini, dia menyediakan 20 pasang baju berbanding 30 persalinan, tahun lalu.

"Tahun lalu, saya banyak dapat tajaan baju sampai lebih 100 persalinan. Ketika itu, saya hanya menempah 30 pasang baju. Tahun ini, saya sediakan 20 pasang saja," katanya.

Bakal mengadakan rumah terbuka pada Syawal keempat di Alor Star, majlis itu dianggap tradisi keluarga.

"Sebenarnya, setiap kali Aidilfitri, kami buat rumah terbuka pada Syawal ketiga. Tetapi disebabkan adik ipar, Zaquan ada perlawanan bola sepak, jadi terpaksa ditunda pada Syawal keempat.

"Hari raya selalunya meriah... Saya susun baju mana yang hendak dipakai dulu. Malah, baju suami (Zain Saidin) dan anak-anak pun sudah siap tergantung dan dipasang butang baju... Tinggal hendak dipakai saja," katanya.

Berita Harian X