Khamis, 14 Jun 2018 | 2:22pm
AKTRES jelita, Erra Fazira. -Foto Khairul Azhar Ahmad
AKTRES jelita, Erra Fazira. -Foto Khairul Azhar Ahmad

Erra nak beraya dengan anak puas-puas

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih menggembirakan buat aktres jelita, Erra Fazira yang dapat meraikan 1 Syawal bersama buah hati, Engku Aleesya.

Tiba giliran Erra untuk menyambut Aidilfitri bersama anak sendiri, Erra teruja meluangkan masa selepas tahun lalu, Aleesya beraya bersama bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Lebih memudahkan bintang Sembilu itu, Aleesya yang sudah berusia sembilan tahun, menyerahkan sepenuhnya soal persiapan menyambut Syawal kepadanya.

"Anak saya bukan jenis kaki 'shopping'. Dia ada cita rasa sendiri dan ini memudahkan saya membeli baju raya untuknya. Paling penting, dia tak suka baju ketat dan kain mesti lembut.

"Aleesya juga tak suka warna merah jambu. Saya pelik kerana kebanyakan gadis dan anak perempuan suka warna itu," katanya kepada BH Online.

Bagi Erra pula, dia lebih gemar bersederhana dalam menyambut Syawal.

"Saya belum beli apa-apa untuk diri sendiri. Sekarang saya sibuk mencuri masa membuat persiapan termasuk membeli kuih. Baju raya cukuplah sepasang dua.

"Sekalipun ada baju raya daripada pereka terkenal, saya masih mencari baju yang dijual di rak. 'Mood' untuk pergi ke pusat beli belah dan memilih baju di kedai tetap ada... Sudah jadi tradisi," katanya.

Tambah Erra, sejak beberapa tahun lalu, dia hanya beraya di ibu kota. Malah, ketiadaan arwah nenek yang meninggal dunia empat tahun lalu, masih dirasai.

"Kalau dulu, Sungai Choh, Rawang akan menjadi lokasi wajib berkumpul sesama ahli keluarga.

"Tapi sejak ketiadaan nenek, kenikmatan berkumpul di kampung makin menghakis. Aktiviti lebih tertumpu di rumah ibu saya di Kuala Lumpur. Kalau balik ke Sungai Choh hanya untuk menziarahi kubur arwah nenek," katanya.

Akui Erra, dia seronok melihat orang lain pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

"Tapi diri sendiri reda sajalah... Tahun ini, saya akan bercuti selama 10 hari. Selepas itu, saya akan menghabiskan baki penggambaran Bikin Filem," katanya.

Berita Harian X