Khamis, 14 Jun 2018 | 6:36pm
ANDI Bernadee, - Foto Saifullizan Tamadi
ANDI Bernadee, - Foto Saifullizan Tamadi

Bajet 'lari', Andi Bernadee tak dapat balik raya

KUALA LUMPUR: Menanti fajar Syawal, Andi Bernadee terkenang saat getir kehilangan insan tersayang selain ditimpa kesusahan hingga tidak mampu pulang ke kampung meraikan Aidilfitri.

Mula mengecap nikmat hidup selepas bergelar artis, Andi mengaku pernah beraya sendirian di ibu kota disebabkan kesempitan wang.

"Kalau difikirkan, sedih sangat ketika itu. Apakan daya, hendak balik kampung, duit tak cukup.

"Ketika itu, saya belum menjadi artis lagi... Jadi terpaksalah beraya di Kuala Lumpur dan menumpang dengan kawan-kawan," katanya kepada BH Online.

Andi berkata, naskhah drama Pondok Buruk arahan Rashid Sibir persis perjalanan hidupnya, suatu ketika dulu.

"Kalau kita tengok drama itu, begitulah perasaan dan hati saya apabila berjauhan dengan keluarga," katanya yang popular dengan single Semalam Sahur Di Mana.

Tambah Andi, pemergian nenek tersayang, Hapsah Jamian kerana jangkitan kuman, tahun lalu memberi kesan kepadanya dalam menyambut Aidilfitri.

Menjadi cucu kesayangan, pasti kehilangan wanita berusia 68 tahun itu dirasai.

"Persiapan saya kali ini biasa-biasa saja... Tak seperti tahun sebelumnya. Rasanya tak meriah sangatlah tahun ini.

"Tahun lalu, saya sempat beraya dengan arwah nenek. Sedih sebab saya agak rapat dengan arwah... Tapi Tuhan lebih menyayanginya," katanya.

Andi atau nama sebenarnya, Andi Azrul Andi Mapangile berkata, dia akan pulang beraya di Kota Kinabalu, Sabah.

"Saya belum merancang untuk bercuti berapa lama di kampung... Namun, saya akan memanfaatkan masa yang ada sebaik mungkin," katanya.

Mengenai persalinan di pagi raya, Andi berkata, dia akan memakai jubah yang didatangkan khas dari Makkah.

"Kawan saya hadiahkan dua pasang jubah... Saya tidak beriya-iya sangat dalam menyediakan baju raya. Cukuplah apa yang ada," katanya.

Andi berkata, peruntukan menyambut hari mulia lebih banyak disalurkan kepada ibu bapa dan anak-anak buah.

"Jadi adalah habuan untuk mereka kelak," katanya.

Selepas muncul dengan single Semalam Sahur Di Mana, Andi optimis menantikan single terbaharu.

"Insya-Allah, saya sabar menanti perkembangan single baharu. Sebelum ini, ada perbincangan supaya usahanya dimulakan selepas Aidilfitri.

"Andai peluang menjadi realiti, saya akan buktikan kemampuan diri. Selain menyanyi, saya juga boleh menari," katanya.

Sebelum ini, Andi pernah tampil dengan single pertama berjudul Tiada Lagi Maaf. Bagaimanapun, lagu itu gagal menempatkan namanya di arus perdana muzik.

Berita Harian X