Sabtu, 16 Jun 2018 | 9:00am
PELAKON dan penyanyi, Siti Elizad. - Foto Munira Abdul Ghani
PELAKON dan penyanyi, Siti Elizad. - Foto Munira Abdul Ghani

Siti Elizad rindu rendang arwah ibu

KUALA LUMPUR: Setiap kali tibanya Syawal, pelakon dan penyanyi, Siti Elizad dihimpit sayu.

Luah Elizad, selepas pemergian ibu, Allahyarham Nazariah Mohd Salleh ke pangkuan Ilahi akibat penyakit Parkinson, lebih empat tahun lalu, rasa rindu yang teramat, sukar dibendung.

Selama ini, kongsi Siti Elizad, ibulah yang paling sibuk menyediakan persiapan raya termasuk juadah untuk keluarga dan tetamu.

Namun, kini, semuanya menjadi kenangan indah.

Sebagai anak tunggal perempuan daripada lima beradik, Elizad atau nama penuhnya, Siti Elizad Mohd Sharifuddin mengambil alih tugas arwah dalam membuat persiapan raya.

"Dulu ibulah yang menjahit baju raya kami sekeluarga selain mencari langsir untuk disuai padan. Menu istimewa lebaran pastinya rendang campur air tangan ibu yang selalu dirindui," katanya kepada BH Online.

Namun, akui Elizad, dia tidak ralat ibu pergi selepas tujuh tahun menjaga arwah.

KALI keempat menyambut Syawal sebagai isteri kepada Shamsul Baharin Rahman, Elizad dan suami beraya di ibu negara. - Foto Munira Abdul Ghani
KALI keempat menyambut Syawal sebagai isteri kepada Shamsul Baharin Rahman, Elizad dan suami beraya di ibu negara. - Foto Munira Abdul Ghani

"Sepanjang tujuh tahun menjaga ibu, memori beraya dengan arwah masih berbekas. Saat memandikan dan menyuap makanan kepada ibu akan saya kenang sampai bila-bila.

"Saya juga bersyukur sempat mewarisi ilmu memasak daripada ibu. Cuma saya tak sempat belajar menjahit dengan arwah," katanya.

Kali keempat menyambut Syawal sebagai isteri kepada Shamsul Baharin Rahman, Elizad dan suami beraya di ibu negara.

Keluarga suaminya menetap di Subang Jaya, Selangor, manakala bapanya berada di Ampang.

Berita Harian X