Isnin, 18 Jun 2018 | 9:39am
PELAKON dan pengacara, Ain Edruce. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sudah-sudahlah ungkit - Ain Edruce

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Ain Edruce mengaku janggal sering dikaitkan dengan bekas kekasihnya, Ezzrin Loy hingga menjadi bahan jenaka.

Ain atau nama penuhnya, Nurulain Edruce, 27, menjelaskan, dia terpaksa 'menelan' perasaan itu demi mengekalkan sikap profesional ketika bekerja biarpun ramai yang suka berbicara mengenainya.

"Tipulah kalau tidak rasa janggal kerana kami pernah bercinta. Cuma saya membuang jauh rasa tidak selesa dengan bersikap profesional.

"Ini kerana kami masih lagi berkawan... Saya juga baik dengan keluarga Ezzrin," katanya kepada BH Online.

Ain mengulas tindakan segelintir pihak yang suka mengungkit kisah cinta tidak kesampaian dengan Ezzrin yang juga adik kepada pelakon, Elfira Loy.

Ain berkata, tempoh percintaannya dengan Ezzrin tidaklah panjang.

"Namun, apa yang menghairankan, ia menjadi buah mulut ramai sekalipun sudah berakhir.

"Mungkin reaksi wajah saya yang menarik perhatian orang ramai untuk berjenaka mengenai perkara itu dengan saya," katanya.

Ain berkata, dia dan Ezzrin bagaimanapun tidak akan kembali bercinta sebaliknya menerima ketentuan hubungan mereka tidak kekal.

"Mungkin jodoh kami sebagai sahabat dan tidak lebih daripada itu," katanya.

Model bersuara serak basah itu turut teruja berkongsi sambutan Aidilfitri di Sarawak yang dianggapnya lebih meriah.

"Sudah menjadi kebiasaan untuk kami sekeluarga beraya di Sarawak. Ini kerana datuk dan nenek sebelah Perak sudah tiada," katanya.

Tambah Ain, di Sarawak, Aidilfitri disambut selama sebulan.

"Kita akan lihat lelaki dan perempuan berpakaian raya untuk jangka masa yang lama. Kalau di tempat lain, mungkin samping dibuka tidak sampai setengah hari Syawal pertama," katanya.

Berita Harian X