Selasa, 19 Jun 2018 | 10:01am
AMAR Baharin bersama isteri, Amyra Rosli dan anak mereka, Aqeef Anaqi.

Anaqi jadi tumpuan keluarga

KUALA LUMPUR: Sejak kehadiran putera sulung, Aqeef Anaqi yang dilahirkan Oktober lalu, rumah tangga pasangan pelakon, Amar Baharin dan Amyra Rosli bertambah seri.

Keterujaan Amar, 33, dan Amyra, 27, berkongsi keseronokan menyambut Syawal bertambah dengan keletah Anaqi yang makin bijak, sesuai dengan usia yang menginjak lapan bulan.

Buat julung kalinya, Aidilfitri diraikan mereka bertiga. Sudah pasti, Anaqi menjadi tumpuan keluarga dan sanak-saudara setiap kali kediaman dikunjungi tetamu atau menghadiri rumah terbuka.

Bercerita mengenai sambutan hari raya, Amyra atau nama penuhnya, Nur Amira Izzati Rosli berkata, mereka bercuti lebih awal bagi memastikan dapat pulang ke kampung dengan selesa.

"Kebanyakan keluarga sebelah Amar belum sempat bertemu Anaqi. Jadi kami teruja untuk beraya di kampung Amar di Kajang dan Semenyih.

"Malah, sejak bulan puasa, kami sudah membahagikan masa dengan baik dan mempersiapkan barang-barang Anaqi untuk beraya.

"Sebelum ini, kami tidak kisah sangat mengenai cuti. Tetapi apabila sudah ada anak, kami lebih teruja bercuti menyambut hari raya," katanya yang mengaku Anaqi diraikan bagai selebriti sejak Syawal pertama.

Amyra dan Amar masing-masing memenuhkan jadual seni pada awal tahun bagi memberi ruang untuk bercuti lebih lama.

Amyra berehat daripada aktiviti penggambaran selama sebulan. Bagaimanapun, dia sibuk memenuhi tugas sebagai duta kempen Terima Kasih TV3.

Tidak cukup itu, tiga beranak ini juga menggalas tugas sebagai duta jenama fesyen, Prima Valet.

Sehubungan itu, Amyra mengaku mereka sekeluarga tidak perlu bersusah payah mencari busana sedondon.

"Kalau dulu, saya akan memakai apa saja baju yang ada. Sekarang, selepas mempunyai anak, saya lebih teruja menyediakan pakaian raya. Alhamdulillah, rezeki Anaqi melimpah kerana semua baju kami disediakan Prima Valet," katanya.

Akui pasangan ini, rezeki Anaqi memang murah. Kebanyakan tawaran yang hadir menginginkan Anaqi tampil bersama-sama mereka.

Bagi Amar, keadaan itu dianggap baharu baginya. Bagaimanapun, dia dan Amyra tidak menolak rezeki yang dihulurkan.

"Mungkin sekarang orang lebih nampak kami sebagai sebuah keluarga. Ramai yang mahu kami tampil sebagai pakej.

"Sebenarnya, ia bagus untuk saya dan Amyra, kerana ia membuatkan kami selalu bersama. Secara tak langsung, ia memudahkan kerja selain mengeratkan lagi hubungan kami.

"Apatah lagi, Anaqi baru berusia lapan bulan, jadi dia memerlukan penjagaan yang baik," katanya.

Amar juga sedar, ada netizen memberi komen mengenai anaknya yang didakwa 'bekerja' pada usia begitu muda. Malah, sejak awal kelahiran putera mereka, dia dan Amyra sudah dibanjiri soalan sedemikian.

Tambah Amar, dia dan isteri menyerahkannya kepada rezeki Anaqi.

"Jujurnya, kami tak menyiapkan Anaqi sebagai bintang popular. Kami juga tidak menolak sekiranya dunia populariti lebih berpihak kepada perjalanan hidupnya.

"Kami anggap apa yang dimiliki sekarang, semuanya disebabkan rezeki Anaqi. Tidak semua kanak-kanak dapat peluang sebegitu. Jadi kami bersyukur, Anaqi dapat mengecapi banyak peluang yang baik," katanya.

Amar dan Amyra juga tidak kisah populariti lebih berpihak pada si anak. Malah, tambah Amyra, Anaqi sekarang lebih menarik perhatian umum berbanding mereka.

Berita Harian X