Rabu, 20 Jun 2018 | 12:26pm
ASMIDAR bakal menjelajah di lapan lokasi sempena pementasan Bangsawan Dendam Laksamana. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ASMIDAR bakal menjelajah di lapan lokasi sempena pementasan Bangsawan Dendam Laksamana. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Asmidar dapat semangat baharu di pentas teater

KUALA LUMPUR: Penyanyi Asmidar, 32, semakin bersemangat mahu mengukuhkan langkahnya di pentas teater apabila ditawarkan membintangi pementasan, Bangsawan Dendam Laksamana.

Pernah terbabit dalam pementasan Muzikal P Ramlee, tiga tahun lalu, Asmidar berkata, naskhah bangsawan itu antara peluang yang ditunggu-tunggu kerana ia berbeza daripada pengalaman pertamanya dahulu.

"Saya teruja apabila diajukan tawaran untuk membawa watak Tun Aria, kawan baik kepada Wan Anum lakonan Nadia Aqilah. Lebih mendebarkan kerana ini penampilan pertama saya dalam persembahan bangsawan.

"Alhamdulillah, menerusi latihan intensif sepanjang Ramadan lalu, selain menerima bimbingan daripada Pat Ibrahim selaku pengarah, perasaan gementar itu berubah menjadi teruja.

"Pengalaman menjayakan pementasan Teater Muzikal P Ramlee pada 2015 juga banyak membantu saya supaya lebih memahami karakter, pentas dan penonton," katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Biar Sampai Ke Bintang itu berkata, dia juga teruja apabila Bangsawan Dendam Laksamana juga bakal menjelajah ke beberapa negeri lain untuk berkongsi keindahan budaya dan warisan bangsa.

Pementasan itu bakal singgah di lapan lokasi utama termasuk Johor, Melaka, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah dan Perak bermula 25 Jun ini dan berakhir di ibu negara pada 11 November depan.

Selain Asmidar dan Nadia Aqilah, bangsawan itu juga membariskan pelakon seperti Azizah Mahzan, Hairi Safwan, Jay Iswazir, Anwar Rusdini, Asmidar, Ucop dan Naque Ariffin.

Sementara itu, ditanya mengenai kerjaya nyanyian, Asmidar menegaskan, bidang seni suara tetap menjadi keutamaan, malah dalam perancangan tampil dengan single baharu.

Berita Harian X