Khamis, 21 Jun 2018 | 6:34pm
TEMAN seangkatan mendoakan Haqiem kental harungi dugaan. Foto: Nur Adibah Ahmad Izam
SYAMEL yakin Haqiem mampu melawan masalah yang sedang dilaluinya. Foto: Nurul Shafina Jamenon
KHAI Bahar berharap Haqiem tidak terbawa-bawa dengan perasaan. Foto: Nurul Syazana Rose Razman

Fikir secara rasional, bukan ikut emosi

KUALA LUMPUR: Teman seangkatan Haqiem Rusli berharap, penyanyi itu membuat keputusan secara rasional dan bukan mengikut emosi sekiranya benar mahu berundur daripada bidang nyanyian.

Menyifatkan tidak semua anak seni bertuah sepertinya, mereka juga berharap, penyanyi lagu Tergantung Sepi itu akan terus kuat dan tabah mengharungi cabaran supaya tidak menyesal pada kemudian hari.

Mengulas perkara, itu, Syamel berkata, dia berdoa Haqiem memperoleh kekuatan untuk melawan masalah yang dihadapinya kerana penyanyi muda itu mempunyai bakat besar dan mampu melangkah jauh dalam industri muzik.

"Sayang jika peluang yang ada dilepaskan begitu sahaja. Apa juga keputusannya nanti, saya berharap ia membawa kebaikan untuk diri dan masa depannya. Tidak semua anak seni bertuah meraih peluang besar sepertinya.

"Saya percaya, Haqiem lebih tahu apa yang terbaik dirinya dan berharap apa juga keputusannya nanti akan diterima semua pihak dengan hati yang terbuka," katanya.

Sementara itu, Wany Hasrita berkata, Haqiem perlu lebih matang dan bertanggungjawab sebelum membuat sebarang kenyataan, terutama apabila membabitkan pelbagai pihak.

"Sebagai kawan, saya tidak bersetuju dengan tindakannya itu. Memang dia berhak menentukan masa depannya, tetapi perkara membabitkan rezeki jangan dibuat main-main. Bimbang jika kerap diulangi akan menjadi doa.

"Bagaimana nanti jika ia menjadi kenyataan, sedangkan hati masih berbelah-bahagi? Disebabkan itu, sebelum memberikan sebarang kenyataan, fikir semasak-masaknya. Lihat juga pengorbanan mereka yang sentiasa di belakang untuk menyokong kejayaan kita.

"Memang setiap kali berdepan dugaan, pelbagai perkara terlintas di fikiran. Setiap kali berlaku, saya akan pandang sekeliling dan lihat wajah mereka yang saya sayang terutama ibu. Semangat mereka membuat saya kuat mengharungi apa sahaja dugaan dalam hidup," katanya.

Mengakui masih terkejut dengan kenyataan diberikan Haqiem itu, Khai Bahar berkata, industri hiburan bakal kehilangan bakat muda berpotensi sekiranya penyanyi itu mengambil keputusan melupakan bidang yang menaikkan namanya.

"Saya berharap Haqiem tidak terbawa-bawa dengan perasaan. Bukan apa, saya bimbang kenyataan itu dikeluarkan ketika emosinya tidak menentu. Tetapi jika benar dia mahu mengundurkan diri, ia kerugian besar.

"Dia mempunyai bakat yang hebat, malah disayangi peminat. Saya harap Haqiem tidak mensia-siakan harapan mereka yang menyokongnya. Pedulikan kata negatif, biarkan ia berlalu kerana kita perlu bangkit untuk buktikan kita tidak mudah lemah," katanya.

Sementara itu, Tajul pula berharap, peminat memberikan penyanyi itu ruang dan masa untuk berfikir sedalam-dalamnya kerana ramai insan lain mengimpikan berada pada tempatnya.

"Jika pasti bersara adalah jalan terbaik, sebagai kawan, saya akan sentiasa menyokong. Memang sayang kerana keputusan itu dibuat ketika kerjayanya sedang meningkat. Lagipun, di luar sana, ramai remaja yang mahu menjadi sepertinya.

"Mungkin ada hikmah di sebalik dugaan yang datang. Mungkin juga rezekinya akan lebih baik jika tidak lagi berada dalam bidang seni. Semua itu kerja Tuhan dan sebagai hamba, kita hanya perlu berusaha mencari kehidupan yang lebih baik," katanya.

Haqiem pada 17 Jun lalu mengejutkan peminat apabila memberi bayangan akan bersara daripada bidang muzik dalam satu catatan menerusi Instagram. Dia bagaimanapun, memberitahu hanya akan membuat keputusan berhubung perkara itu bulan depan.

Berita Harian X