Ahad, 24 Jun 2018 | 1:48pm
MATHNI semakin dikenali selepas membintangi Nur. - Foto Adi Safri

Nur bawa tuah kepada Mathni

KUALA LUMPUR: Tempias populariti drama Nur yang menghiasi slot Samarinda di TV3, Ramadan lalu turut membawa tuah kepada Mathni Razak untuk meneroka dunia lakonan dengan lebih serius.

Membawa watak Doktor Mukhriz, Mathni atau nama sebenarnya, Ahmad Mathni Ab Razak bersyukur mendapat kepercayaan pengarah, Shahrulezad Mohameddin apabila diberi peluang beraksi dengan ramai pelakon hebat dalam siri itu.

"Sebagai orang baharu, saya bertuah sangat mendapat tunjuk ajarnya. Memandangkan pengalaman masih cetek, saya akui agak kekok ketika menjalani penggambaran. Alhamdulillah, percubaan itu mendapat reaksi positif ramai.

"Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari. Saya percaya, bakat boleh diasah dan saya perlukan sedikit masa untuk membuktikan kemampuan sebenar. Syukur kerana Nur membuka ruang baharu dalam kerjaya lakonan saya," katanya.

Selain Mathni, drama yang mencetus fenomena baharu itu membariskan Amyra Rosli dan Syafiq Kyle sebagai watak utama dibantu Noorkhiriah, Azhan Rani, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar dan Laila Nasir.

Mathni yang terlebih dahulu memulakan kerjaya di pentas peragaan sejak lapan tahun lalu berkata, dia pernah bekerjasama dengan Shahrulezad ketika membintangi drama Degup Cinta.

"Sebaik mendapat tahu dia menghasilkan Nur, pengurusan cuba merisik-risik peluang untuk saya kembali berlakon di bawah bimbingannya. Mungkin rezeki apabila watak Mukhriz menjadi milik saya.

"Sambutan ramai membuatkan saya semakin seronok mencuba bidang lakonan. Sebelum ini, saya tidak begitu serius kerana lebih banyak memberikan perhatian kepada kerjaya peragaan," katanya yang pernah menjadi pelakon tambahan filem Karak dan Jin Notti.

Mathni yang mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan seorang anak berusia dua tahun bersyukur kerana isterinya memahami minatnya.

"Dia sangat menyokong, malah tidak pernah meragui usaha saya meskipun, minat kami berbeza. Doanya itu juga membuatkan saya semakin bersemangat mengatur langkah," katanya yang turut aktif membintangi iklan komersial.

Berita Harian X