Isnin, 25 Jun 2018 | 11:40am
ALVIN mengendalikan program I Can See Your Voice bersama Syuk Sahar. Foto: Khairul Azhar Ahmad
ALVIN mengendalikan program I Can See Your Voice bersama Syuk Sahar. Foto: Khairul Azhar Ahmad

Alvin Chong takut malukan diri

KUALA LUMPUR: Pelakon Alvin Chong mengakui, hampir menarik diri daripada menjalani uji bakat sebagai pengacara program I Can See Your Voice Malaysia kerana gusar memalukan diri.

Katanya, dia berbelah-bahagi menyahut cabaran itu disebabkan kurang fasih berbahasa Melayu, selain tiada pengalaman sebagai pengacara.

"Ketika diminta menghadiri sesi uji bakat untuk program ini, saya enggan pergi. Bukan jual mahal, tetapi saya tidak mahu memalukan diri.

"Saya kurang yakin kerana sedar penguasaan bahasa Melayu saya tidak cukup bagus. Saya juga takut tidak boleh beraksi spontan mengikut situasi seperti pengacara lain.

"Namun, Universal Music memberi semangat dan meminta saya cuba dahulu. Lucunya, sepanjang sesi uji bakat itu, tangan saya tidak lepas memegang skrip. Apabila dimaklumkan berjaya, perasaan teruja dan takut bersilih ganti," katanya.

Berusaha memberikan yang terbaik, Alvin yang popular menerusi drama rantaian, Suri Hati Mr Pilot berharap, percubaan pertamanya itu menjadi landasan untuk dia membuktikan keupayaan dalam cabang seni baharu, selain lakonan dan nyanyian.

Sebagai persediaan, bintang berusia 27 tahun itu kerap menonton versi asal program dari Korea Selatan itu untuk melihat bagaimana cara penyampaian hosnya.

"Sebelum ini, memang ada tawaran membabitkan undangan mengendalikan majlis korporat. Namun, saya tidak menerimanya. Saya perlukan sedikit masa, terutama untuk mengendalikan program acara langsung, bimbang tersalah cakap.

"Berbeza I Can See Your Voice kerana ia program rakaman. Dari situ, saya dapat belajar dengan mereka yang lebih senior selain teman gandingan saya, Syuk Sahar," katanya.

Program terbitan ntv7 itu bakal disiarkan bermula Ogos ini, menampilkan enam bakat misteri yang perlu diteka sama ada mereka adalah penyanyi lagu sebenar atau sekadar menyamar.

Berita Harian X