Isnin, 25 Jun 2018 | 4:03pm
INTAN Liana Saleh - Foto Rosdan Wahid

Intan Liana gila glamor?

KUALA LUMPUR: Julung kali menyambut Ramadan dan Syawal tanpa lelaki bergelar suami di sisi, Intan Liana Salleh, 33, bagaimanapun reda dengan ketentuan Yang Maha Kuasa.

Bagi wanita kental ini, ikatan perkahwinan bersama pemuzik, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 30, yang terlerai, Mac lalu, bukanlah noktah kepada perjalanan hidupnya.

Hasil perkongsian hidup dengan Ude, Intan mempunyai dua zuriat yang menjadi sumber kekuatan dirinya sekarang.

Nama Intan mula menjadi perhatian apabila Ude, yang ketika itu masih suaminya, berkahwin dengan pelakon, Izreen Azminda, pada Ogos tahun lalu.

Pernikahan mereka yang dilakukan secara tertutup di Damansara, Petaling Jaya, menjadi antara isu paling sensasi pada 2017.

Bagi Intan, yang mula berjinak-jinak dalam bidang peragaan, episod kelam yang dihadapi bukan alasan buatnya terus berduka.

Cuma, akuinya, ada ketika, memori lama tetap menerjah lantas membuatkan hatinya menjadi rapuh seketika.

Intan tidak mampu menghalang kenangan lama daripada datang bertandang, apatah lagi bukan sekejap dirinya menyandang status isteri kepada Ude. Lebih-lebih lagi saat umat Islam sibuk mengadakan persiapan menyambut Aidilfitri, baru-baru ini.

"Saya masih ada dua hero (merujuk kepada anak lelakinya), Arish Muqri, 4, dan Ariq Muqri (setahun 5 bulan). Saya sedang mencuba dan membiasakan diri tinggal bertiga.

"Begitupun, ketika kita hendak menyambut kedatangan bulan puasa, baru-baru ini, ada juga rasa sedih yang menerpa. Ia datang tanpa dipaksa.

"Jika perasaan sebegitu menjengah, saya akui ada juga air mata yang tumpah. Namun, mahu atau tidak, saya memang kena menjadi insan yang kuat. Saya perlu bersikap positif dan meneruskan kehidupan," katanya kepada BH Online.

Mengimbau pengalaman berpuasa bersama anak-anak, wanita ini mengaku, tahun ini dirinya tidaklah beriya-iya dalam menyediakan menu berbuka mahupun bersahur.

Jelasnya, semuanya disediakan dengan ala kadar.

"Iyalah, orang yang hendak menyentuh makanan itu pun hanya saya seorang. Anak saya masih kecil untuk berpuasa. Jadi, saya masak juadah yang ringkas saja dan makan apa yang ada. Sesekali, saya berkunjung ke bazar Ramadan," katanya.

Mengenai sambutan hari raya pula, katanya, persiapan tentu saja tertumpu buat dua permata hatinya.

"Jujurnya, saya tidak memikirkan sangat soal persiapan untuk beraya. Keutamaan tentulah untuk anak-anak. Maklumlah, kalau tiba hari rata, kanak-kanak yang lebih teruja. Cuma, kami tiga beranak mengenakan pakaian sedondon di pagi Syawal," katanya pulang beraya di Segamat, Johor.

Sementara itu, mendasari hatinya sekarang, Intan berkata dirinya selesa meneruskan kehidupan seperti biasa. Cuma, dengan apa yang diraihnya ketika ini, ada sesetengah pihak yang menuduh Intan gila glamor dan gemar mencari publisiti murahan.

Sedangkan, menurut wanita ini, dia bukanlah sesiapa dan masih Intan yang dulu.

"Saya juga bukanlah seorang artis, sebaliknya masih Intan yang lama. Saya sekadar mencari rezeki dengan berniaga.

"Jika diikutkan, saya sudah lama berniaga. Dulu, saya dan kakak menjual pakaian. Sekarang, saya menjual jamu dan minyak wangi kanak-kanak. Sekarang, ada pihak bermurah hati berkongsi rezeki dengan melantik saya menjadi duta produk mereka pula.

"Saya memang tidak menyangka ada pihak menganggap saya seperti menagih publisiti murahan dan gila glamor. Hakikatnya, saya tidak menagih semua itu, termasuk perpisahan yang berlaku," ujar Intan sambil memberitahu, dia menerima segala tawaran dihulurkan sebagai rezeki buat mereka tiga beranak.

Intan menambah, ada masanya perkongsian kata-kata motivasi di laman sosial yang dimuatnaik disalah erti. Sedangkan, katanya, dia hanya berbuat demikian secara rawak, tanpa merujuk kepada sesiapa.

Dalam pada itu, anak bongsu daripada lima beradik ini memanjat kesyukuran kerana diberikan rezeki sampingan membesarkan anak tersayang.

"Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri, menjadi orang pertama yang menawarkan saya peluang menjadi model untuk koleksi tudungnya, bagi tempoh enam bulan.

"Selain itu, saya menjadi wajah busana raya Ash Annas, milik jurugambar Annas Easkey. Saya juga bekerjasama dengan jenama Amora Cosmetics untuk gincu dan jenama syampu Mika & Co.

"Perniagaan saya usahakan turut mendapat sokongan pengikut Instagram. Saya bersyukur kerana kata mereka, apa saja yang saya jual, pasti dibeli," katanya.

Dalam perkembangan lain, Intan berazam menambahkan berat badan.

"Berat saya adalah sekitar 55 kilogram (kg). Sekarang, turun mendadak menjadi 46kg. Memang saya nak naikkan berat badan. Tak mahulah kurus sangat. Jadi, saya kena makan banyak-banyak selepas ini," selorohnya.

Berita Harian X