Rabu, 27 Jun 2018 | 12:06pm
BEN Amir. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
BEN Amir. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ben Amir 'beraya' di dusun

KUALA LUMPUR: Ketika orang lain seronok beraya, pelakon Ben Amir leka 'bermain' di dusun milik keluarganya di kampung sebagai rutin wajib setiap kali tibanya Aidilfitri.

Mengimbau keseronokan menyambut Syawal di kampung, Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin, 28, memberitahu, sudah menjadi tradisi keluarga untuk bersantai di dusun pada petang 1 Syawal.

"Saya dan sepupu memang menunggu Syawal untuk berkumpul seisi keluarga sambil melakukan hobi kami iaitu masuk ke dusun.

"Selain aktiviti menembak, dusun keluarga juga ada banyak pokok buahan-buahan dan kolam ikan. Kalau musim buah, kami tak menang tangan petik buah-buahan.

"Selain itu, memancing menjadi antara aktiviti yang dinantikan. Tapi, semuanya kami buat selepas beraya. Rasa seronok kerana suasananya berbeza apabila dapat bermain dengan kambing, mengejar ayam dan sebagainya," katanya kepada BH Online.

Menganggap aktiviti seumpama itu sebagai cara merapatkan silaturahim, Ben berkata, dia mengambil kesempatan bercuti selepas penat bekerja.

Tambahnya, jika sebelum ini kebanyakan masa diperuntukkan di lokasi penggambaran, Aidilfitri adalah masa paling tepat untuk menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga.

"Sepanjang puasa, saya menyelesaikan penggambaran telefilem termasuk karya 100 episod yang masih berbaki.

"Boleh dikatakan cuti raya kali ini tak panjang. Raya keempat saya sudah kembali ke Kuala Lumpur bagi menyambung tugasan. Jadi, peluang berada di kampung saya gunakan sebaik-baiknya," kata anak jati Sungai Siput, Perak ini.

Mengaku bersyukur dengan penerimaan penonton terhadap drama bersiri terbarunya, Air Mata di Bumi Matador, anak muda tinggi lampai itu enggan terlalu selesa.

Sebaliknya, dia sentiasa beringat matlamat sebenar mencari rezeki dalam dunia seni.

Berita Harian X