Khamis, 28 Jun 2018 | 9:56am
PUTERI Aishah dan Remy Ishak pada sidang media mengumumkan tarikh tayangan filem Pulang terbitan Primeworks Studio. - Foto Ruhanis Shukri

'Remy garang, serius'

KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Aishah menyifatkan Remy Ishak sebagai aktor yang serius dan garang, membuatkan dia gementar mendampingi jejaka itu ketika membintangi filem Pulang.

Memandangkan Pulang adalah filem pertamanya dan ketika penggambaran, dia masih lagi hijau dalam dunia lakonan, kerisauan Puteri Aishah berganda, terutama memikirkan kemampuan Remy yang diakui ramai.

"Saya bimbang jika gagal memberikan prestasi lakonan setanding Remy. Mujur, sebulan sebelum penggambaran, kami sudah diberi latihan. Ketika itu, kami berusaha mendapatkan keserasian antara satu sama lain.

"Baru saya tahu, Remy garang dan serius ketika bekerja. Dia sama seperti pengarah Pulang, Kabir Bhatia yang tegas dan terperinci apabila bekerja. Remy jika mahukan sesuatu, dia berusaha mendapatkannya.

"Dia juga memastikan lakonannya sempurna dan mengikut kehendak pengarah. Ketelitian Remy secara tidak langsung mengajar saya menjadi pelakon yang lebih baik," katanya kepada BH Online.

Ditanya mengenai pengalamannya kali pertama berlakon filem yang bakal menjengah pawagam bermula 26 Julai ini, Puteri Aishah berkata, banyak yang dipelajarinya sepanjang 45 hari penggambaran.

Paling tidak dilupakan apabila mereka mengambil risiko melakukan penggambaran di sebuah muara sungai di Terengganu yang dihuni buaya.

"Ketika menjayakan babak mendayung sampan bersama seorang pelakon, saya terdengar bunyi pergerakan air. Hati saya berdebar kerana suasana di persekitaran ketika itu agak sunyi.

"Apabila bertanya kepada kru, mereka kata tiada apa-apa. Hanya selepas selesai penggambaran, baru mereka memberitahu, ada buaya di tepi sampan kami. Luruh jantung dibuatnya.

"Pengalaman itu terlalu mahal, membuatkan saya sukar melupakannya. Saya juga bertuah kerana pelakon senior banyak membantu ketika menjayakan filem ini, selain guru lakonan kami, Fatimah Abu Bakar," katanya.

Pulang mengambil latar era 1940-an hingga 2010 membariskan pelakon seperti Datuk Jalaludin Hassan, Juliana Evans dan Azrel Ismail.

Berita Harian X