Jumaat, 29 Jun 2018 | 5:48pm
AIZAT Amdan, mengeluarkan single baharu berjudul Harapan Jadi Nyata. - Foto Aizat Amd

Perjuangan Tun M beri ilham rakam lagu baharu

KUALA LUMPUR: Semangat perjuangan dan dedikasi milik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam usaha meletakkan nama Malaysia di peta dunia menjadi ilham buat penyanyi, Aizat Amdan, mengeluarkan single baharu berjudul Harapan Jadi Nyata.

Malah, Aizat, 29, yang juga seorang komposer melihat naskhah terbabit umpama ramalan menjadi nyata apabila rakyat memilih tampuk pimpinan baharu untuk negara menerusi Pilihan Raya Umum ke-14, baru-baru ini.

Lagu berkonsep pop balada yang mengambil ilham daripada falsafah kepimpinan dan perjuangan Dr Mahathir atau Tun M itu dihasilkan sendiri olehnya pada 2011, namun baru dirakamkan tiga bulan lalu di Berlin, Jerman.

"Biarpun lagu ini sudah ditulis sejak tujuh tahun lalu, namun ia belum pernah dirakam dan dikeluarkan secara rasmi, sebelum ini.

"Cuma, saya pernah mempersembahkannya secara langsung bersama Suki Low dan Lawrence Soosai pada sebuah majlis penghargaan buat Tun M, pada 2011," kata Aizat.

PENYANYI, Aizat, kini muncul bersama single berjudul Harapan Jadi Nyata yang diinspirasikan daripada perjuangan Perdana Menteri. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Dedah Aizat, inspirasi menghasilkan lagu berkenaan datang daripada bapanya sendiri, Datuk Amdan Mat Din, yang ingin menzahirkan rasa hormat dan kagum terhadap pemimpin idolanya.

"Lagu ini dihasilkan bagi memberi penghormatan kepada Tun M selepas begitu lama berjasa kepada negara. Saya sendiri tidak menyangka beliau akan dipilih sekali lagi sebagai Perdana Menteri.

"Sayangnya, ketika ini ayah saya diserang penyakit angin ahmar. Saya pasti dia gembira dengan keadaan Perdana Menteri kita sekarang. Kalau bukan kerana sakit, mungkin ayah saya juga kini turut aktif menyokong kepimpinan Tun M," katanya.

Jelas Aizat, pada mulanya dia tidak mempunyai perancangan untuk mengeluarkan lagu bercorak patriotik.

"Namun, selepas mendapat kerajaan baharu pada 10 Mei lalu, keadaan dan suasana negara seperti berubah. Ia bagai menyuntik udara baharu untuk Malaysia. Jadi, saya fikir single ini sangat sesuai untuk dikeluarkan, sebagai penghormatan buat detik bersejarah yang kita boleh kenang sampai bila-bila," katanya.

Kata Aizat lagi, lagu terbabit diharap bukan sekadar menjadi tanda penghormatan buat negarawan ulung itu, tetapi juga hadiah untuk Dr Mahathir yang bakal meraikan ulang tahun ke-93 pada 10 Julai depan.

Dilancarkan di semua pelantar digital bermula hari ini, video muzik Harapan Jadi Nyata juga kini boleh ditonton di YouTube atau laman sesawang www.theaizatamdan.com.

Berita Harian X