Ahad, 1 Julai 2018 | 5:32pm

Amyra mahu besarkan sendiri anak

KUALA LUMPUR: Meskipun tidak berdepan masalah untuk keluar bekerja, pelakon Amyra Rosli enggan mementingkan diri, sebaliknya mahu putera sulungnya, Aqeef Anaqi yang kini berusia lapan bulan membesar di depan mata.

Amyra atau nama lengkapnya, Nur Amira Izzati Rosli, 27, berkata, setiap tawaran diterima akan terlebih dahulu dinilai dan dibincangkan dengan suaminya, Amar Baharin kerana tidak mahu anaknya membesar di tangan orang lain.

"Memang tiada masalah kerana mama akan menjaga Anaqi jika saya sibuk di lokasi penggambaran. Tetapi, saya lebih suka membesarkan sendiri anak, tambahan pula saya agak cerewet dalam penyediaan makanan dan pakaian.

"Jika Amar terikat dengan penggambaran drama yang panjang, saya tidak akan ambil tawaran. Toleransi perlu ada kerana bimbang pula anak tidak kenal ibu bapanya sendiri apabila kami terlalu sibuk bekerja. Kami tidak mahu perkara itu terjadi," katanya.

Kembali meraih perhatian menerusi drama Nur yang ditayangkan di TV3, Ramadan lalu, Amyra mengakui, semangatnya untuk terus meneroka peluang baharu semakin membuak-buak.

Amyra bagaimanapun, akur banyak aspek perlu dititikberatkan. Selain skrip yang kuat, kesesuaian masa juga perlu diberi perhatian kerana dia turut menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

"Memang saya memilih naskhah yang ditawarkan, tetapi itu bukan bermakna saya hanya menerima watak berat. Saya perlu melihat kesesuaian jadual kerja, memandangkan saya juga isteri dan ibu. Jika

ada kelapangan, saya tidak akan tolak.

"Sedapat mungkin, saya cuba mengelak melakukan semua perkara serentak. Mungkin dahulu, saya tidak kisah menerima apa sahaja tawaran, tetapi tidak sekarang. Membesarkan anak tanpa pembantu membuatkan saya lebih teliti dalam perancangan kerjaya," katanya.

Semakin dikenali, Amyra berkata, sepanjang pembabitannya sebagai anak seni, populariti bukan perkara utama yang dikejar kerana dia enggan dirinya dibebani dengan harapan dan permintaan ramai.

"Saya hanya menjadi diri sendiri dan tidak pernah tertekan untuk dikenali. Setiap tawaran yang datang, saya cuba sempurnakan dengan sebaiknya kerana saya mencari rezeki dalam bidang ini. Alhamdulillah, ramai yang menyenangi pendekatan saya itu," katanya.

AMYRA selesa membesarkan sendiri anak. Foto: Eizairi Shamsudin
AMYRA selesa membesarkan sendiri anak. Foto: Eizairi Shamsudin

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X