Isnin, 2 Julai 2018 | 5:08pm

Janji tak buat lagi kerja gila

KUALA LUMPUR: Lapan bulan membiarkan dirinya terperangkap dalam dunia yang diciptanya sendiri, pelakon Iqram Dinzly, 37, bagaikan tersedar daripada lamunan panjang apabila tindakannya itu memberi kesan terhadap diri, keluarga dan kerjaya.

Dilempar pelbagai reaksi negatif, malah pernah dianggap tidak lagi siuman, Iqram akur, tidak semua orang boleh menerima caranya, membuatkan dia kembali mencari diri pada akhir 10 Ramadan lalu.

Iqram juga akur sebelum ini, dia terlalu leka melayan diri dan perasaan menyebabkan ada yang menganggap kehidupannya menyimpang dari landasan Islam sebenar, sedangkan tidak semua memahami laluan yang ditempuhinya.

"Saya tidak kisah apabila dianggap sudah tidak siuman kerana hanya saya tahu, apa yang saya rasa. Apabila tersedar, saya malu dengan perbuatan sendiri. Saya bukan lagi Iqram Dinzly yang dulu.

"Terdetik juga di hati, apa sebenarnya yang saya lakukan? Saya terperangkap dan terpinga-pinga kerana tidak percaya dengan apa yang saya buat.

"Cukuplah, saya tidak mahu buat kerja gila lagi. Dulu, saya fikir boleh berkongsi apa yang dilalui dengan khalayak, tetapi saya silap. Orang sekeliling tidak faham apa yang saya rasa," katanya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, persepsi orang ramai terhadapnya memberi kesan besar sedangkan ketika itu, dia hanya mahu menjadi diri sendiri.

"Saya tidak lagi menjaga menjaga penampilan diri kerana mahu hidup ringkas. Saya lupa, saya adalah selebriti. Saya tidak mampu melawan persepsi orang luar apabila diri tidak lagi terurus seperti ketika saya dikenali.

"Saya tidak hidup sendirian. Saya ada mama yang baru menjadi balu, selain nama baik keluarga yang perlu dijaga. Saya percaya doa mama, Lalitol Akmar Mohamed Shaffie, 68, membuatkan saya kembali ke pangkal jalan.

"Selama ini, saya lihat mama 'okay' dan sering menegur dengan cara baik. Saya tidak perasan dia sebenarnya susah hati. Perbuatan saya memberi kesan sangat besar kepadanya dan keluarga. Mama sangat tabah kerana ketika diuji kehilangan suami, terpaksa pula berdepan dengan anak yang berperangai pelik dan gila.

"Saya sudah tidak sanggup melihat wajah mama yang sugul dan tidak ceria. Saya mahu menjadi Iqram Dinzly dulu yang sentiasa membahagiakan mama," katanya.

Berjanji untuk demi keluarga, pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Janji Diana pada 2006 itu juga ingin memohon maaf kepada semua pihak atas perbuatannya dulu yang mengguris perasaan ramai.

DOA ibu bawa Iqram kembali ke pangkal jalan. Foto: Danial Saad
DOA ibu bawa Iqram kembali ke pangkal jalan. Foto: Danial Saad

Berita Harian X