Isnin, 2 Julai 2018 | 8:36pm
Shuk. - Foto NSTP
Shuk. - Foto NSTP

Shuk belajar berlawak dalam konti

KUALA LUMPUR: Disiplin dan pentingnya menjaga pertuturan ketika dalam konti stesen radio membantu pelawak Shuk mencari idea dalam membuat persembahan komedi di pentas.

Akui penyampai di stesen radio Hot FM itu, ketika mengendalikan segmen di radio, dia perlu berhati-hati mengelak kemungkinan isu diperkatakan sensitif atau tidak sesuai dikongsi dengan pendengar.

"Apabila berada di pentas, garis panduan diberitahu sebelum membuat persembahan. Kalau sudah beraksi, mulalah keterujaan melawak menjadi-jadi sehingga 'terbabas'.

"Lain pula senarionya di radio... Fokus peminat adalah dalam percakapan kita. Jadi, saya perlu berjaga-jaga dalam setiap pertuturan.

"Ditambah pula kita ada bantuan rakan-rakan di konti yang saling 'menjaga' percakapan kita.

"Jadi, apa yang saya terapkan di radio, diguna pakai apabila berada di pentas. Secara tidak langsung, ia mematangkan lagi cara saya menyampaikan komedi," katanya kepada BH Online.

Sering menjadi bualan netizen gara-gara lawak yang dilihat mempunyai maksud tersirat atau 'double meaning', Shuk lebih berhati-hati dalam penyampaiannya.

Mengenai perkembangan karier, Shuk atau nama penuhnya, Mohammad Shukri Mohamad Sahar bersyukur kerjayanya masih bertahan biarpun berdepan saingan bakat baharu.

Shuk mengaku selepas berkahwin tiga tahun lalu, rezekinya semakin melimpah.

Shuk percaya, rezeki itu datang daripada isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah dan anak sulungnya, Nur Qurratu Ain yang berusia setahun lapan bulan.

"Alhamdulillah, apabila sudah berkeluarga, saya tidak lagi 'bekerja' mencari pendapatan. Sebaliknya, lebih mencari rezeki buat isteri dan anak.

"Syukur... Saya menumpang rezeki mereka, membuatkan rezeki saya masih ada," katanya.

Shuk berkata, dia akan mengikut jejak rakan-rakan membuka taman asuhan kanak-kanak (taska), tidak lama lagi.

"Saya menanti isteri menamatkan kursus pengendalian taska, barulah cadangan itu dapat direalisasikan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shuk bersama aktor, Alvin Chong, bakal mengendalikan program I Can See You Voice Malaysia terbitan ntv7, bulan depan.

"Saya adalah peminat program Korea ini... Jadi rasa sangat teruja dapat terbabit. Bersama Alvin, walaupun dia masih baru, kami mudah serasi.

"Saya suka Alvin kerana rajin bertanya selain mahu belajar perkara yang dia tidak tahu," katanya.

Berita Harian X