Khamis, 5 Julai 2018 | 9:19am
NABILA Huda
NABILA Huda

'Memang berat hati, tetapi mereka faham'

KUALA LUMPUR: Ibarat membawa diri apabila bersendirian merantau ke negara asing selama sebulan, pelakon Nabila Huda mengakui, diburu perasaan bersalah apabila terpaksa berjauhan dengan suami dan anak tersayang.

Nabila, 33, berkata restu suami, Mohd Izwan Johar atau Bert, 33, sedikit sebanyak meredakan perasaannya, apatah lagi lelaki itu sentiasa memahami kerjayanya sebagai anak seni.

Pelakon filem Munafik itu berkata, dia akan bertolak ke Itali bermula 16 Julai ini untuk menjayakan program travelog di sana.

"Susah hati juga kerana kami akan berpisah lama. Tetapi, suami dan anak, Keisha Laila, 8, memahami tanggungjawab serta minat saya. Alhamdulillah kerana hubungan anak dan suami rapat, jadi ia memudahkan saya menjalankan tugas.

"Suami tidak menghalang kerana saya ke sana atas urusan kerja. Cuma, hati saya yang tidak menentu kerana jarang berjauhan begitu lama dengan mereka. Mujur, Bert ada bersama ketika perbincangan program ini dibuat.

"Jadi, dia sudah tahu segala aktiviti saya nanti. Mengikut perancangan, Bert dan Keisha akan menyertai saya pada akhir siri penjelajahan itu nanti untuk bercuti bersama-sama," katanya.

Nabila berkata, dia teruja apabila dimaklumkan akan dibawa meneroka pelbagai lokasi yang kurang mendapat perhatian pelancong sepanjang pengembaraan itu.

Idea menghasilkan program itu tercetus selepas kejayaannya berkongsi pengalaman menerusi program, #walkoflife ketika di Nepal bersama produksi Libero.

"Saya masih belum mendapat butiran terperinci mengenai lokasi yang bakal dituju. Namun, saya teruja kerana memang gemarkan percutian yang penuh kejutan.

"Banyak perkara yang bermain di minda saya ketika ini, terutama aktiviti bakal dilakukan di lokasi menarik yang sering menjadi tumpuan ramai seperti Rome, Venice dan Milan.

"Tetapi, saya difahamkan produksi dan kedutaan Itali juga akan membawa saya ke tempat yang jarang dikunjungi. Terfikir juga, cabaran yang bakal menanti saya di sana nanti. Semua itu dapat diikuti peminat di Instagram saya menerusi #ciaociaonabila," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X