Khamis, 5 Julai 2018 | 5:11pm
AIMAN mahu Haqiem Rusli cekal harungi cabaran hidup. Foto: Halimaton Saadiah Sulaiman
AIMAN mahu Haqiem Rusli cekal harungi cabaran hidup. Foto: Halimaton Saadiah Sulaiman

'Harap Haqiem tak buat gimik'

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aiman Tino berharap, Haqiem Rusli tidak mempermainkan isu kemurungan dan menjadikannya sebagai gimik untuk melariskan produk memandangkan ia antara masalah kesihatan serius.

Aiman berkata, sekiranya benar penyanyi itu berdepan masalah, dia perlu mendapatkan nasihat dan pandangan pakar supaya lebih tenang ketika melalui detik sukar.

"Haqiem juga perlu mendekatkan diri dengan individu penting dalam hidupnya, terutama ibu dan bapanya untuk meredakan tertekan. Setiap dugaan yang datang, ambil dari sudut positif dan jangan mengalah.

"Usah terlampau memikirkan isu yang tidak penting, sebaliknya nikmati kehidupan sebaik mungkin. Haqiem seharusnya bersyukur kerana dikelilingi insan yang ikhlas menyayanginya.

"Memang bukan mudah untuk berjuang dalam industri hiburan kerana banyak cabaran dan dugaan. Saya berharap sangat isu itu bukan gimik untuk memperkenalkan single terbarunya kerana ia bukan perkara boleh dibuat main," katanya.

Penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu mengakui, dia juga berdepan pelbagai kecaman netizen sejak awal kemunculan dalam industri hiburan.

Namun, dia tidak mempedulikan kritikan itu kerana tidak mahu emosinya terganggu dan semangatnya untuk terus berjuang luntur.

"Saya hanya ambil perkara yang positif, komen negatif jangan hiraukan kerana ia hanya menjadikan kita semakin lemah," katanya.

Haqiem pada 17 Jun lalu memberikan bayangan dia mungkin berundur dari industri hiburan kerana berdepan masalah kemurungan.

Namun, dalam perkembangan terbaru, Haqiem memaklumkan, dia menarik balik keputusan itu selepas mendapat maklum balas peminat yang mahukan dia terus menyanyi.

Tindakannya itu mencetuskan pelbagai spekulasi, malah ada yang menganggap Haqiem sengaja melakukan gimik untuk mempromosikan lagu baharunya, Selamat Tinggal Sayang.

Berita Harian X