Jumaat, 6 Julai 2018 | 3:26pm
PERSONALITI televisyen dan pelakon, Wak Doyok. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Wak Doyok lali digelar 'poyo'

KUALA LUMPUR: Pelakon Abang Long Fadil 2, Wak Doyok, tidak ralat biarpun masih terpalit dengan gelaran 'poyo' sejak lapan tahun lalu.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Muhammad Azwan Mohd Nor, 38, berkata dia menganggap gelaran itu bersesuaian dengan imej dan perwatakannya sebagai seorang ikon fesyen.

"Sebenarnya saya sudah digelar 'poyo' sejak 2010, ketika mula-mula memperkenalkan baju sut di pusat beli-belah. Namun, saya tidak ambil pusing perkara itu kerana mereka yang mengenali diri ini lebih maklum mengenai perangai saya.

"Apabila berpakaian kemas dan sut, semestinya kita harus menggayakan pakaian itu bersesuaian dengan karakternya. Tidak mungkin apabila bergaya begitu, kita bersikap keanak-anakan pula?

"Apa yang pasti, mereka yang mengenali saya menerusi program yang diacarakan tahu bagaimana perangai sebenar saya. Jadi, saya serahkan kepada anda di luar sana untuk menilainya," katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan terbaru, Wak Doyok yang juga seorang usahawan rancak mempromosikan pakaian tradisional yang mengekalkan ciri-ciri warisan Melayu.

"Menurut kajian saya lakukan, ramai memilih baju Melayu serba ringkas yang mengekalkan ciri-ciri tradisional. Saya pula gemarkan pakaian yang kemas, terutamanya ketika menghadiri majlis atau acara pada musim perayaan.

"Saya melihat senario orang ramai menolak baju Melayu terlalu serabut dan sebagainya. Cuma, gaya yang saya keluarkan lebih kepada 'slim fit' atau melekap cantik ke tubuh," kata Wak Doyok.

Berita Harian X