Jumaat, 6 Julai 2018 | 8:40pm
PENYANYI, Haqiem Rusli, ketika mengadakan sidang media berhubung dakwaan dirinya mengalami kemurungan di Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Khairul Azhar Ahmad
PENYANYI, Haqiem Rusli, ketika mengadakan sidang media berhubung dakwaan dirinya mengalami kemurungan di Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Haqiem sah alami kemurungan sederhana

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Haqiem Rusli, mengesahkan dirinya mengalami kemurungan sederhana selepas menjalani pemeriksaan kesihatan bersama doktor pakar psikiatri, di sini petang tadi.

Haqiem yang dihubungi selepas selesai proses pemeriksaan selama sejam itu berkata, kemurungan dialaminya bukanlah rekaan.

"Doktor mengesahkan saya mengalami kemurungan sederhana, iaitu lebih tinggi daripada kemurungan ringan yang saya nyatakan semalam.

"Kemurungan mempunyai empat peringkat dan apa yang saya alami adalah peringkat ketiga. Ia lebih teruk daripada apa yang saya sangkakan. Berikutan itu, saya perlu mengambil ubat.

"Doktor turut memberitahu, sekiranya tidak dirawat, kemurungan ini boleh memberikan kesan terhadap kehidupan saya," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Haqiem, 20, enggan berkongsi lebih lanjut mengenai perkara itu kerana pemeriksaan ke atas dirinya belum selesai. Dia dijadualkan menemui doktor sama pada minggu hadapan.

HAQIEM ketika menjalani pemeriksaan bersama pakar psikiatri, Song Sheng Yong, di ibu kota, hari ini. - Foto ihsan FMC Music
HAQIEM ketika menjalani pemeriksaan bersama pakar psikiatri, Song Sheng Yong, di ibu kota, hari ini. - Foto ihsan FMC Music

Sementara itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Tergantung Sepi ini mengaku lega selepas mendapat pengesahan daripada doktor pakar.

"Saya memang tidak boleh menghalang orang ramai daripada menuduh saya menipu, tetapi jujurnya saya mengalami kemurungan sejak awal tahun ini. Namun, saya berdegil untuk tidak mendapatkan rawatan.

"Alhamdulillah, saya lega selepas mendapatkan pemeriksaan doktor. Pusat rawatan saya kunjungi juga bukan sebarangan," kata penyanyi yang memilih Pusat Psikologi Antarabangsa di Taman Desa, di sini, untuk tujuan pemeriksaan.

Semalam, penyanyi yang baru saja muncul dengan single Selamat Tinggal Sayang itu mengadakan sidang media bagi menjelaskan kontroversi berhubung dakwaan dibuatnya baru-baru ini, kononnya dia mengalami kemurungan sehingga mahu meninggalkan dunia seni.

Dia turut meminta maaf daripada semua pihak, termasuk rakan artis, apabila tindakannya itu mencetuskan perdebatan di kalangan penggiat dan peminat seni.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X