Sabtu, 7 Julai 2018 | 9:29pm
TYA Arifin bersama suami, Asyraf Khalid, dan anak mereka, Arif Jiwa. - Foto: Saifullizan Tamadi
ASYRAF Khalid dan isteri, Tya Ariffin, kini mengusahakan produk jamu di bawah jenama Mutyara Beauty. - Foto: Munira Abdul Ghani

Tya Arifin tak segan jual jamu

KUALA LUMPUR: Pelakon kelahiran Indonesia, Tya Arifin, mengaku tidak segan menjual jamu walaupun dirinya dianggap masih muda untuk menceburi perniagaan itu.

Ibu kepada si cilik popular, Arif Jiwa Asyraf, itu berkata orang ramai sering beranggapan penggunaan jamu adalah untuk golongan lebih berusia saja.

"Sedangkan, ia sebenarnya boleh diamalkan golongan wanita muda juga, iaitu sebelum mereka berkahwin lagi. Malah, saya tidak malu untuk menjual jamu kerana percayakan pelbagai khasiat semula jadinya untuk wanita. Saya sendiri mengamalkan pengambilan jamu sejak dulu.

"Lagipun, saya dibesarkan dalam keluarga yang menyukai jamu. Kalau dulu, saya melihat sendiri ramuannya dicampur, ditumbuk dan dikisar secara tradisional, kini saya pula menghasilkan produk itu. Namun, saya mengeluarkan jamu dalam bentuk cecair yang dikira memudahkan pengguna, sesuai untuk generasi sekarang," katanya kepada BH Online.

Menurut isteri kepada Asyraf Khalid, yang juga anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza, selepas melahirkan putera sulungnya, dia terus mengamalkan pengambilan jamu resipi turun temurun keluarga, Mutyara Beauty.

Tya atau nama penuhnya Nurtria Wulandari Arifin memberitahu, Siti dan pelakon, Izara Aishah, turut mencuba jamu keluarannya.

Sementara itu, bercerita mengenai kerjaya seni, Tya yang menceburi dunia lakonan sejak usia 18 tahun di Indonesia, kini berdebar menantikan tayangan filem terkini lakonannya, Preman Pensiun, arahan Aris Nugraha. Ia menemui penonton di pawagam Indonesia mulai 13 September depan.

"Saya menjalani penggambaran filem terbabit pada April lalu. Tidak sabar rasanya untuk melihat reaksi penonton terhadap Preman Pensiun.

"Sekalipun sibuk dengan urusan rumah tangga dan perniagaan, saya masih sayangkan dunia lakonan. Cuma, sejak kehadiran Arif, ia bukan lagi menjadi keutamaan. Begitupun, jika ada tawaran bersesuaian, tidak kira di Indonesia mahupun Malaysia, saya boleh pertimbangkan," katanya.

Tya berkahwin dengan Asyraf pada 1 November 2015 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Arif, pada 31 Mac tahun lalu.

Berita Harian X