Selasa, 10 Julai 2018 | 2:28pm
DR Soo Wincci, menerima Ijazah Sarjana keduanya dalam majlis graduasi yang berlangsung di Berklee Valencia

Wincci genggam Ijazah Sarjana kedua

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon yang menyambung pengajian di Sepanyol, Dr Soo Wincci, menerima Ijazah Sarjana keduanya dalam majlis graduasi yang berlangsung di Berklee Valencia, semalam.

Menerusi kemas kini di laman sosialnya, Wincci memaklumkan sedang bersiap sedia untuk ke masuk ke dewan bagi menerima Ijazah Sarjana Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi daripada institusi berprestij impiannya, Universiti Berklee Valencia.

"Sarjana kedua saya daripada pusat pengajian impian @berkleevalenciacampus. Bezanya, kali ini saya sendirian di Sepanyol, namun terima kasih di atas semua ucapan menerusi online.

"Saya perlu masuk ke dewan untuk graduasi sekarang. Akan kongsi lebih banyak gambar untuk anda semua nanti!," katanya menerusi status dan gambar yang dikongsi menerusi Instagram peribadinya.

Wincci menyambung pengajian di negara berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Bekas peserta Ratu Cantik Dunia 2008 itu menerima Ijazah Sarjana pertama dalam bidang pengurusan perniagaan daripada Universiti Sunshine Coast, Australia.

Sebelum itu, beliau menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-undang daripada Universiti Reading, United Kingdom.

Difahamkan, selebriti berusia 32 tahun itu turut merancang untuk mendapatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kedua di Universiti Harvard atau Universiti New York pula, selepas ini.

Sebelum ini, beliau memperoleh PhD dalam Bidang Pengurusan Perniagaan daripada Open University Malaysia (OUM) pada 2016.

Berita Harian X