Selasa, 10 Julai 2018 | 11:31pm
PELAKON, Erra Fazira. - Foto Aswadi Alias
PELAKON, Erra Fazira. - Foto Aswadi Alias

Erra perjuang isu sakit mental

KUALA LUMPUR: Persepsi negatif terhadap penyakit mental termasuk kemurungan perlu diubah agar individu berdepan masalah itu dapat dipulihkan dengan sokongan masyarakat.

Aktres jelita, Erra Fazira berpendapat, isu sakit mental dan kemurungan perlu ditangani secara serius dan menyeluruh apatah lagi selepas kontroversi penyanyi, Haqiem Rusli yang mendakwa mengalami kemurungan, hangat diperkatakan netizen.

"Saya sedih makin ramai dalam kalangan netizen dan masyarakat tidak faham dengan tepat mengenai masalah sakit mental.

"Malah kritikan dan hentaman menjadikan lebih rumit kepada pakar psikologi untuk menyalurkan bantuan... Senario seperti ini mengekang pesakit untuk tampil ke depan mendapatkan bantuan," katanya kepada BH Online.

Jumaat lalu, Haqiem yang menggemparkan industri hiburan apabila mendakwa dirinya kemurungan, mengesahkan mengalami kemurungan tahap sederhana selepas diperiksa pakar psikiatri.

Sehari sebelum itu, Haqiem yang baru muncul dengan single Selamat Tinggal Sayang, mengadakan sidang media bagi menjelaskan kontroversi itu dan keputusan meninggalkan dunia seni.

Nekad membantu pihak berkepentingan menangani isu penyakit mental dan kemurungan dalam kalangan masyarakat, Erra memberitahu, beliau bekerjasama dengan Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental Malaysia (MIASA) menggerakkan kempen kesedaran serta inisiatif lain.

"Saya berharap inisiatif yang akan diambil MIASA mendapat sokongan padu masyarakat.

"Atas keprihatinan mengenai masalah mental yang semakin kuat memberi impak kepada masyarakat, saya dan MIASA mahu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa isu ini tidak boleh diambil mudah, dipandang remeh atau dilihat sebagai masalah individu," katanya.

Erra berkata, sidang akhbar khas mengenai usaha yang akan diambil MIASA akan diadakan di ibu negara, esok.

"Saya memang tak arif dalam bidang psikologi dan masalah mental. Tetapi saya ada teman dan insan rapat yang berdepan masalah ini.

"Sebenarnya, masyarakat boleh sama-sama menggembleng tenaga memberi sokongan moral. Namun, apa yang dilihat sekarang adalah sebaliknya hingga keadaan menjadi rumit.

"Seperti penyakit kanser dan berbahaya lain yang mampu meragut nyawa, masalah mental juga makin kronik jika terus dipandang ringan," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif MIASA dan Erra boleh mengikutinya melalui Instagram @miasa.malaysia.

Berita Harian X