Rabu, 11 Julai 2018 | 10:42am
Zara Zya dan Hafreez Adam.

'Jangan taasub dengan cinta kami'

KUALA LUMPUR: Biarpun ramai yang merestui hubungannya bersama Hafreez Adam, pelakon, Zara Zya, berharap tiada pihak yang terlalu taasub dengan percintaan mereka.

Menurut Zara, 33, kedua-dua pihak sudah berjumpa keluarga masing-masing ketika sambutan raya lalu, namun belum menetapkan sebarang perancangan mengenai hala tuju hubungan terbabit.

"Apa pun, saya berharap pengakhiran yang baik buat saya dan Hafreez kerana umur saya juga sudah lanjut. Jadi, kalau boleh saya sendiri tidak mahu bermain-main, sebaliknya lebih matang dalam bercinta.

"Alhamdulillah, kami sudah berjumpa dengan keluarga masing-masing, namun buat masa ini belum ada sesuatu yang dapat dikongsikan bersama umum. Jika diikutkan, perkahwinan bukan saja membabitkan dua pihak, sebaliknya seluruh keluarga turut memainkan peranan.

"Saya juga banyak belajar daripada kisah lalu. Hafreez sendiri, biarpun lima tahun lebih muda daripada saya, dia nyata lebih matang daripada usianya. Apa yang dapat saya katakan, doakan yang terbaik buat kami," katanya.

Zara berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Super Spontan Xtravaganza, baru-baru ini.

Pelakon drama Mona Lisa itu bakal berentap bersama 16 pelawak lain menerusi program yang bakal bermula pada 20 Julai ini, siaran Astro Warna.

Menyentuh pembabitannya dalam rancangan berkenaan, Zara berkata, dia tidak mahu berada dalam zon selesa semata-mata. Justeru, penyertaan dalam program lawak itu mencabar dirinya untuk melakukan sesuatu luar daripada kebiasaan.

Kata Zara, program itu sebenarnya bukan sekadar melihat sejauh mana seseorang mampu berjenaka, sebaliknya menguji tahap kreativiti dalam memberi tindak balas terhadap sesuatu situasi secara spontan.

"Sebenarnya, ia jauh lebih sukar kerana otak kita perlu segar dan pantas dalam memberi tindak balas, selain kena kreatif agar tidak hambar. Saya sangat teruja untuk menjayakan program ini kerana ia amat mencabar," katanya.

Berita Harian X