Rabu, 11 Julai 2018 | 10:40pm
ADAM Corrie menimang cahaya mata sulung, petang tadi. - Foto ihsan Instagram Adam Corrie

Adam Corrie dapat anak lelaki

KUALA LUMPUR: Penantian 10 tahun pelakon, Adam Corrie Lee Abdullah untuk menimang cahaya mata menjadi kenyataan apabila isterinya, Fazema Mohd Fuad, 40, selamat melahirkan bayi lelaki, petang tadi.

Tanpa menyatakan butiran lanjut mengenai bayi yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara itu, Adam Corrie dalam perkongsian di Instagram memberikan anaknya nama panggilan, BabyLee.

"Alhamdulillah, bidadari saya sudah selamat melahirkan BabyLee tadi. Jutaan terima kasih diucapkan kepada yang mendoakan kesejahteraan kami.

"Senyum selalu. Selalu bersangka baik. Insya-Allah, hati tenang," katanya dalam catatan ringkas di laman sosial itu.

Sebelum ini, bintang KL Gangster itu meluahkan perasaan syukur apabila doktor memaklumkan isterinya tidak perlu menjalani pembedahan, sebaliknya hanya perlu mendapatkan cukup rehat sebelum melahirkan anak.

Pelakon berusia 50 tahun yang mendirikan rumah tangga pada 2008 itu turut memaklumkan, hanya akan berkongsi nama permata hati mereka selepas tujuh hari dilahirkan.

Berita gembira yang dikongsinya itu menerima hampir 5,000 ucapan tahniah daripada pengikutnya yang turut gembira atas kelahiran ahli keluarga baharu.

Selain peminat, rakan artis antaranya, Erra Fazira, Siti Nordiana, Fara Fauzana, Saiful Apek, Azza Elite, Syamsul Yusof, Yasin Sulaiman dan Zulhuzaimy turut melayangkan ucapan tahniah.

Berita Harian X