Jumaat, 13 Julai 2018 | 4:36pm
VANIDAH kini memberikan tumpuan kepada pengajian dalam bidang sarjana pementasan seni drama di Universiti Malaya (UM). - Foto Blackpepper Production

'Umie Aida boleh buat, kenapa yang lain tidak?'

KUALA LUMPUR: Bebaskan minda. Itu pandangan Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) 2007, Vanidah Imran apabila memperkatakan soal peluang artis senior mendapat watak utama dalam drama mahupun filem tempatan.

Bintang filem Red Kebaya itu menganggap, biarpun dibanjiri pelakon generasi baharu, bintang lama berhak mendapat agihan adil dalam tawaran watak atas faktor bakat luar biasa mereka.

"Kita kena bebaskan diri dalam hal ini... Jangan sogok pelakon muda atau hiburan semata-mata.

"Sebenarnya, ada banyak naskhah cerita yang boleh dibikin untuk pelakon angkatan lama seperti saya. Contohnya, krisis pertengahan umur yang kita tidak tahu mungkin akan menyentuh jiwa ramai orang," katanya kepada BH Online.

Vanidah atau mesra disapa Vee, 44, memberi contoh bagaimana Umie Aida yang dianggap pelakon senior masih 'bertaring' dan dapat menarik penonton ke pawagam melalui filem Dukun.

"Saya masih belum dapat terima hakikat bahawa cerita dan peranan utama perlu disogok kepada pelakon muda muda saja.

"Di luar negara pun, pelakon seperti Meryl Streep masih ada peranan penting untuk dirinya dalam filem," katanya.

Vanidah berkata, pandangan umum mengaitkan faktor kononnya 'zaman sudah berlalu' atau watak utama hanya untuk pelakon muda sebenarnya terlalu subjektif untuk dibicarakan.

Mengenai tawaran lakonan, Vanidah akur dengan perkembangan yang berlaku sekarang.

"Andai tidak ada peranan sesuai, saya okay... Biarlah saya bekerja dengan gembira dan lakukan kerana sukakan watak itu.

"Saya percaya rezeki dari Allah. Saya akan cuba beri yang terbaik setiap kali bekerja... Kerja itu suatu amanah dan rezeki ada di mana-mana," katanya.

Vanidah yang aktif berlakon sejak 1993 berkata, dia sibuk memberi tumpuan kepada pengajian dalam bidang sarjana pementasan seni drama di Universiti Malaya (UM).

"Saya kena fokus kepada penulisan tesis pengajian sarjana sejak Ramadan lalu. Saya mula menyambung pengajian di UM sejak September 2016. Insya-Allah, saya kini berada pada semester terakhir," katanya.

Akui Vanidah, bukan mudah hendak memberi tumpuan kepada pengajian dan urusan lain termasuk keluarga.

"Saya juga aktif menyertai acara maraton dan selesa memberi tumpuan kepada keluarga.

"Namun, jika ada tawaran berlakon telefilem yang tidak mengambil masa panjang, bolehlah dipertimbangkan," katanya.

Berita Harian X