Sabtu, 14 Julai 2018 | 6:40pm
PENYANYI, Shahir Zawawi (kiri) dan Erra Fazira. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat dan Nurul Syazana Rose Razman

'Kalau ada rezeki, tahun ini kami kahwin'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shahir Zawawi, 29, memberi bayangan bakal mengakhiri hubungannya bersama aktres jelita, Erra Fazira, dengan ikatan perkahwinan.

Mengaku sudah bersedia untuk menjadi suami dan bapa kepada puteri tunggal Erra, Engku Aleesya, 9, Shahir menegaskan perhubungan mereka turut mendapat restu keluarga.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki tahun ini, maka tahun inilah (kami berkahwin). Saya bagaimanapun belum dapat memaklumkan tarikhnya. Apabila tiba masanya nanti, saya akan beritahu kepada semua.

"Alhamdulillah, hubungan kami tiada masalah dan keluarga saya juga merestuinya. Cuma, saya menunggu tarikh dan ketikanya saja," katanya ketika ditemui pada majlis kenduri durian anjuran restoran Teh Tarik Place cawangan Setapak Sentral, di sini hari ini.

Masih menyusun perancangan untuk melangkah ke alam perkahwinan, Shahir berkata, dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan menjadi seorang ayah.

Bintang Akademi Fantasia itu bagaimanapun menafikan dirinya membawa rombongan merisik ke rumah Erra, 44, pada hari raya pertama lalu. Sebaliknya dia berkata, kunjungan itu sekadar ziarah keluarga sempena Aidilfitri.

"Kami mungkin akan terus bernikah, tanpa majlis bertunang. Apa pun, saya serahkan kepada jodoh. Aleesya juga menerima baik kehadiran saya. Namun, buat masa ini, saya memohon sedikit ruang untuk membuat perancangan. Apabila sudah ada tarikhnya nanti, saya akan hantar jemputan," katanya.

Menyentuh soal kehilangan semula dirinya selepas terbabit dalam program realiti AF Megastar, tahun lalu, Shahir berkata, dia sibuk mengendalikan perniagaan.

"Ada beberapa kerja yang saya lakukan. Pada masa sama, saya memang mempunyai hasrat untuk menghasilkan single baharu. Tetapi, ada sedikit masalah dengan lagu Mama Jangan Pergi yang pernah saya persembahkan pada konsert akhir AF Megastar. Jadi, projek itu terbantut.

"Insya-Allah, kalau ada masa saya akan cuba hasilkan semula single berkenaan kerana peminat juga sudah tahu mengenainya. Cuma, ia belum sempat untuk dikeluarkan," katanya.

Berita Harian X